GST : Kastam Nafi Dakwaan Kos Penjagaan Kesihatan Meningkat 5%

Kuala Lumpur – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menafikan dakwaan dikeluarkan satu persatuan perubatan baru-baru ini berhubung kos penjagaan kesihatan akan meningkat sebanyak 5 peratus pada tahun depan akibat pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Ketua Pengarahnya, Datuk Sri Khazali Ahmad berkata, kenyataan tersebut bukan sahaja tidak betul tetapi menimbulkan kebimbangan dan kekeliruan dalam kalangan pesakit serta pengguna.

Menurutnya, kos penjagaan kesihatan hanya dijangka akan mengalami peningkatan harga antara 1 hingga 2 peratus saja berikutan beberapa faktor.

“Buat masa ini, di bawah Akta GST 6 peratus dikenakan ke atas penyediaan bilik dan makanan oleh pihak hospital swasta.

“Namun, ketika pelaksanaan GST nanti, cukai tersebut akan dimansuhkan kerana GST tidak dikenakan untuk bilik dan makanan ke atas pesakit dan biasanya komponen kos bilik adalah antara 10 hingga 30 peratus daripada jumlah kos yang dikenakan kepada ‘in-house’ patients.

“Penjimatan ini perlu disalurkan kepada pesakit,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman sosial, Facebook Kementerian Kewangan Malaysia, hari ini.

Selain itu, beliau menyatakan sesetengah perkhidmatan yang diperolehi pihak hospital adalah bersifat kos neutral seperti perkhidmatan keselamatan, parker dan perkhidmatan professional yang tertakluk kepada cukai perkhidmatan sebanyak 6 peratus.

Menerusi pelaksaan GST juga, pesakit atau pengguna dilihat akan menerima beberapa kelebihan yang sebelum ini dikenakan pihak hospital.

“Beberapa bekalan perubatan seperti sarung tangan, katil dan peralatan hospital tertakluk kepada cukai jualan dengan kadar 10 peratus. Dengan pelaksanaan GST, akan berlaku sedikit penjimatan kerana GST adalah pada kadar 6 peratus.

“Peralatan Perubatan Utama bagi hospital swasta juga akan diberi pelepasan di bawah GST (Relief) Order 2014 membawa kepada kesan sifar.

“Perkhidmatan kesihatan, gaji dan imbuhan juga terkecuali daripada GST,” jelasnya. – mD

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.