Kim Swee Risau Pemain Harimau Muda A Penat Esok

Ong Kim Swee

PENGENDALI Skuad Harimau Muda A, Datuk Ong Kim Swee meluahkan rasa bimbang terhadap prestasi semasa anak didiknya yang dilihat kepenatan selepas beraksi tanpa rehat sejak kampen acara bola sepak di temasya Sukan SEA ke-27 bermula sepuluh hari lepas.

” Saya bimbang pemain kita tidak dapat mempamerkan aksi sebenar apabila turun menentang Singapura pada perlawanan penentuan pingat gangsa esok, walaupun saya tahu mereka akan bermain dengan bersungguh-sungguh,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di sebuah hotel hari ini.

Kontinjen negara terlepas satu pingat emas apabila skuad bola sepak negara gagal meneruskan aksi ke final setelah tewas 3-4 kepada Indonesia menerusi penentuan penalti selepas terikat 1-1 pada perlawanan separuh akhir semalam.

Skuad bimbingan Kim Swee akan bertemu Singapura pada aksi penentuan pingat gangsa, manakala Indonesia pula akan berentap menentang Thailand bagi memburu ‘ibu segala pingat’.

Jurulatih berasal dari Melaka itu berkata pasukanya perlu memenangi perlawanan esok walaupun tahu Singapura tidak akan memandang mudah perlawanan tersebut demi maruah pasukan masing-masing.

“Kita juga mempunyai maruah sendiri dan mereka pun sama dan kita wajib raih kemenangan esok agar tidak mengecewakan harapan seluruh peminat bola sepak negara,” katanya.

Kim Swee berkata, beliau tidak ingin pulang dengan tangan kosong selepas terlepas peluang ke final sebaliknya ingin membawa balik pingat gangsa.

Mengulas mengenai persedian skuad negara bagi menghadapi perlawanan esok, Kim Swee berkata beliau telah berusaha memperbaiki kelemahan yang ada dengan harapan pemain mampu mempamerkan aksi terbaik mereka nanti.

“Seperti biasa saya belum menetapkan kesebelasan utama pemain yang akan turun ke padang esok sebaliknya akan membuat keputusan berdasarkan keadaan semasa pemain dua jam sebelum perlawanan bermula,” katanya.

Sementara itu penjaga gawang negara, Mohd Izham Tarmizi Roslan berkata beliau dan rakan-rakan akan bermain secara bermati-matian menentang Singapura bagi meraih pingat gangsa agar ia tidak menghancurkan harapan seluruh rakyat Malaysia.

“Saya dan rakan-rakan ingin buktikan bahawa kita bukan pasukan belasahan sebaliknya akan bermain dengan penuh semangat untuk perlawanan esok,” katanya.

Mohd Izham berkata, beliau tahu pasukan Singapura juga akan bermain habis-habisan oleh itu beliau akan cuba mengelak daripada gawang gol negara dibolosi pasukan lawan nanti.  – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.