JPN Sabah Siasat Pengetua Sekolah Hantar Mesej Lucah Kepada Pelajar

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah sedang menyiasat pengetua sebuah sekolah di Telipok, Kota Kinabalu yang didakwa menghantar mesej lucah kepada pelajarnya.

Menteri Pendidikan dan Inovasi negeri Datuk Dr Yusof Yacob berkata, siasatan berkaitan kes berkenaan dijalankan selepas laporan diterima daripada ibu bapa kepada pelajar yang menjadi mangsa gangguan seksual itu.

“Kita sedar mengenai kes ini dan ia masih dalam siasatan yang dijalankan jawatankuasa tatatertib.

“Ini adalah kes serius kerana membabitkan pelajar bawah umur. Ia patut ditangani dengan sebaiknya,” katanya ketika ditemui di pekarangan Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.

Difahamkan, pengetua berkenaan menghantar mesej berkenaan menerusi aplikasi WhatsApp kepada pelajar berusia 14 tahun.

Yusof berkata, setakat ini pengetua terbabit masih bertugas walaupun kes berkenaan sedang disiasat.

Menurutnya, tindakan tidak boleh diambil tanpa sebarang bukti kukuh daripada siasatan yang dijalankan.

“Ini bukan kes terpencil dan sudah beberapa kali dilaporkan berlaku di negara ini. Ini adalah mesej jelas bahawa perkara ini perlu diambil perhatian.

“Tindakan yang mungkin boleh diambil termasuk menamatkan perkhidmatan mereka. Ini adalah peringatan tegas kepada semua guru dan pengetua,” katanya.

Yusof berkata, tenaga pengajar sepatutnya bertanggungjawab menjaga kesejahteraan pelajar kerana ia akan membabitkan reputasi sekolah itu sendiri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.