Dua Ahli Parlimen BN Bertengkar Di Parlimen Gara-Gara Salah Faham Isu ‘Gambar Pakatan’

KUALA LUMPUR – Lobi bangunan Parlimen hari ini bertukar kecoh apabila dua ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) bertikam lidah secara tiba-tiba dengan menggunakan perkataan “bodoh” dan “bangang”.

Ia bermula apabila Ahli Parlimen Kuala Krau, Ismail Mohamed Said bertindak memarahi rakannya Tajuddin Abdul Rahman (Pasir Salak) dengan perkataan kesat di khalayak ramai.

“Bodoh! Bangang! Apa ni ahli Barisan Nasional lama,” kata Ismail kepada Tajuddin yang berdiri di depannya.

Ia kemudian disambut dengan herdikan Tajuddin.

“You (anda) lah bodoh. Apa? Apa?”

Pemberita ketika itu sedang menemu bual Presiden MCA, Wee Ka Siong, beberapa meter daripada tempat kedua-dua wakil rakyat itu bertikam lidah.

Tidak lama kemudian, Ismail dilihat mengejar Tajuddin yang menuju ke bangunan pejabat ahli Parlimen pembangkang.

Mereka terus berbalas kenyataan dengan menyebut beberapa perkara termasuk “kongsi gambar”, “anak” dan “dapatkan sokongan”.

Pertelingkahan itu berjaya dileraikan beberapa pegawai keselamatan Parlimen.

Ismail kemudian diiringi pegawai keselamatan ke ruang makan VIP, sementara Tajuddin terus menuju ke pejabatnya di bangunan sebelah.

Di luar ruang makan, kelihatan Setiausaha Agung Umno Annuar Musa menenangkan Ismail. Petugas media bagaimanapun tidak dapat mendengar secara jelas perbualan mereka.

“Gambar kawan-kawan saya pergi ziarah anak saya, dia jadikan isu kata saya buat pakatan untuk sokong seorang pemimpin (parti) yang lain.

“Mana boleh, tak betul,” kata Ismail kepada pemberita apabila diminta mengulas kejadian tersebut.

Sementara itu, Tajuddin menegaskan pertelingkahan itu sudah diselesaikan. Menurutnya, tiada perkara yang serius sebaliknya hanya melibatkan salah faham antara rakan-rakan dalam parti.

“Salah faham antara kawan, kenapa kamu semua berminat (nak tahu)?

“Kalau cerita rumah tangga anda? Anda nak cakap?” katanya merujuk kepada insiden itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.