Wujud Sabotaj Dari Dalam PH, Cuba Halang Peralihan Kuasa – Dr Mahathir

KUALA LUMPUR – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan terdapat usaha sabotaj dari kalangan pemimpin dalam pakatan itu bagi menafikan kemenangan PH pada Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lalu.

“Kerana hal ini pengumuman kemenangan kami dilambatkan,” katanya, lapor MalayMail yang memetik kenyataan Dr Mahathir dalam edisi terbaru majalah kebudayaan dan politik Mekong Review.

Menerusi temubual dengan penulis majalah tersebut, Eddin Khoo, Perdana Menteri berkata peralihan kuasa dari BN kepada PH dilihat lancar namun sebenarnya banyak halangan terpaksa ditempuhi.

“Kami tahu kami sudah menang pada 8.30 malam (9 Mei) tetapi kami tidak dapat pengumuman rasmi sehingga 2 pagi kerana dalam tempoh singkat itu, ada banyak percaturan yang tidak jelas kepada orang ramai.”

“Peralihan itu nampak lancar dari luar tetapi tidak begitu lancar dari dalam (Pakatan Harapan).

“Kami menempuh pelbagai halangan, termasuk cubaan dari dalam (PH) untuk menafikan kejayaan kami tetapi akhirnya kejernihan berfikir mengatasinya,” kata Dr Mahathir.

Dr Mahathir bagaimanapun tidak mendedahkan siapa pihak dalam PH yang cuba mensabotaj dan menggagalkan kemenangan pakatan itu melalui gerakan lompat parti pada malam tersebut.

Pendedahan itu sekaligus menjawab persoalan punca Dr Mahathir bertegas mendesak majlis mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri diadakan segera pada 10 Mei lalu.

“Jika kerajaan tidak dilantik segera, negara tidak ada pentadbirnya, perkara pertama yang perlu dilakukan Yang Di Pertuan Agong adalah melantik perdana menteri setelah mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen.

“Calon itu anda sendiri tahu siapa, ia adalah Tun Dr Mahathir Mohamad. Kami harap, sebelum jam 5 petang akan ada kerajaan baru tertubuh,” kata Dr Mahathir dalam sidang media di Hotel Sheraton, 10 Mei lalu. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.