Pemimpin Yang Ghairah Kumpul Kekayaan Akan Buat Rakyat Sengsara – Sultan Nazri

KUALA LUMPUR – Rakyat akan menjadi sengsara dan hidup dalam keadaan kemiskinan sekiranya pemimpin negara terlalu ghairah mengumpulkan kekayaan hasil dari sumber negara, kata Timbalan Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin.

Sikap pemimpin seperti itu telah menidakkan hak dan kepentingan rakyat hingga sanggup bersikap tamak melalui kaedah yang tidak betul.

“Kemiskinan ummah akan menjadi lebih buruk apabila pemimpin lebih mengutamakan agenda membina kekayaan material dengan mengambil dan menidakkan hak ummah secara tidak adil dan melalui kaedah yang meragukan.

“Kekayaan material yang diperoleh secara mencurigakan akan melahirkan individu kaya secara mendadak,” katanya sempena Sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Menerusi laporan Free Malaysia Today, Sultan Nazrin bertitah langkah mengumpul kekayaan sekiranya tidak dilengkapi kekayaan minda adalah satu ilusi dan mencermin budaya bermewah-mewah sahaja.

Baginda berkata ini akan mengakibatkan berlaku ketirisan sumber, pembangunan yang tempang, serta kadar pengangguran, kadar penghijrahan, kadar penyeludupan, kadar jenayah dan kadar rasuah yang tinggi, disusuli dengan pelbagai penyakit sosial.

“Akhirnya ketenteraman awam terjejas, kestabilan politik tergugat, dan ummah bertambah derita kerana terperangkap dalam putaran ganas penderitaan,” katanya.

Baginda berkata, negara yang mendapat keredaan, berkat dan rahmat Allah, akan dilimpahkan kemakmuran, kesejahteraan, serta dilindungi daripada bencana dan malapetaka.

“Pimpinan negara diamanahkan dalam kalangan insan yang ikhlas lagi bertakwa lalu akan dirahmati ummah di negara tersebut kerana hati pemimpinnya memiliki rasa belas – rasa ihsan kepada warganya, di samping roh pemimpinnya menghayati perintah Allah,” katanya.

Sultan Nazrin juga berkata pada peringkat menggubal sesuatu perjanjian mahupun dasar, amatlah penting diamalkan sifat inklusif, dipastikan adanya partisipasi yang melibatkan penyertaan pelbagai pihak, mewakili pelbagai konstituen.

Baginda bertitah ini terutama ketika menangani isu sensitif, kontroversi dan yang menyentuh pendirian yang bertentangan.

“Kerana itu Rasulullah mengamalkan budaya syura, untuk membolehkan pelbagai pandangan dan kelainan pendapat disuarakan, dihujahkan dan kemudiannya diterokai titik pertemuan,” katanya. – Suara.TV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.