MBSA Tanggal Papan Tanda Bertulisan Cina Selepas Disembur Cat Hitam

SHAH ALAM – Tular tindakan berani seorang individu menyembur cat hitam pada papan tanda bertulisan bahasa Cina sejak awal pagi ini.

Tindakan tersebut dipercayai susulan rasa tidak puas hati dengan penggunaan bahasa Mandarin yang disifatkan tidak menghormati bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Susulan itu, Sinar Harian ketika menghubungi Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berhubung perkara tersebut memaklumkan individu pada gambar tular itu bukan kakitangan MBSA.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, MBSA menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah agar papan tanda jalan yang mempunyai tulisan Cina digantikan dengan papan tanda jalan yang memaparkan bahasa Melayu sahaja.

“Untuk makluman, tindakan segera telah diambil oleh pihak MBSA dengan menanggalkan papan tanda berkenaan di lokasi papan tanda berkenaan hari ini.

“Kerja menanggalkan papan tanda bagi lokasi ini akan dilaksanakan secara berperingkat dan dijangka selesai dalam masa terdekat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharuddin Mat Taib berkata, pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung vandalisme dilakukan lelaki tersebut.

“Tiada laporan polis diterima setakat ini. Jika sabit kesalahan individu tersebut boleh dipenjara sehingga dua tahun dan denda di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan khianat terhadap harta benda awam,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.