Maszlee Diingat Jangan Salah Guna Kuasa

SHAH ALAM – Kenyataan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berhubung larangan kepada ahli parlimen pembangkang memasuki sekolah kerajaan, mengundang pertikaian ramai pihak. 

Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata, larangan tersebut merupakan salah satu penyelewengan kuasa, selain ia membuktikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil pendekatan yang mundur ke belakang. 

“Kenyataan Menteri Pelajaran menghalang wakil rakyat pembangkang masuk ke sekolah adalah satu penyelewengan kuasa, menghalang tugasan wakil rakyat di kawasan masing masing dan membuktikan Kerajaan PH mundur ke belakang serta tidak menghormati demokrasi. 

“Kuku besi tidak bertahan lama,” tulis Setiausaha Agung UMNO itu menerusi Twitter beliau.

Sementara itu, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin pula dengan nada sarkastik melemparkan sindiran ditujukan kepada kenyataan Maszlee itu.

“Ingat Malaysia baharu tiada larangan dah,” tulisnya di dalam Twitter.

Pengarah Eksekutif Lawyers For Liberty yang juga pemimpin PKR, Latheefa Koya juga mengingatkan Maszlee supaya tidak menyalahkangunakan kuasanya sebagai seorang Menteri.

“Oh Come on ⁦@maszlee⁩! Dont abuse your power! (Oh tolonglah Maszlee. Jangan salahguna kuasa anda),” tulisnya di Twitter.

Maszlee semalam berkata ahli Parlimen pembangkang yang berhasrat masuk ke sekolah milik kerajaan untuk menghadiri sebarang program perlu mendapatkan kebenaran daripada Kementerian Pendidikan.

Katanya, pekeliling juga sudah dikeluarkan bahawa permohonan perlu dibuat kepada kementerian melalui Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) jika wakil rakyat terbabit berhasrat berbuat demikian. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.