Larang Pembangkang Hadir Majlis Rasmi Sekolah Tidak Adil

KUALA LUMPUR – Keputusan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik yang melarang wakil rakyat dari parti pembangkang daripada masuk atau menghadiri sebarang majlis rasmi di mana-mana sekolah adalah tindakan yang tidak adil dan tidak wajar, kata Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan negeri, Asmaiza Ahmad.

Dipetik Berita Harian, Asmaiza berkata, perkara itu seharusnya tidak dipolitikkan memandangkan ia dianggap tidak adil buat negeri yang ditadbir oleh pembangkang selain banyak bantuan yang dipinta oleh sekolah-sekolah kepada kerajaan negeri untuk kelangsungan aktiviti sekolah.

“Saya minta supaya jangan dipolitikkan isu ini sehingga kami tidak dibenarkan untuk menghadiri ke sebarang program rasmi sekolah.

“Ini kerana di Perlis ada sekolah yang meminta bantuan daripada kerajaan negeri dan takkan kami tidak dibenarkan masuk ke sekolah jika pihak penerima menganjurkan program di situ?” kata Asmaiza.

Asmaiza berkata, di Perlis pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan atau pekeliling yang melarang wakil rakyat daripada Pakatan Harapan untuk menghadiri sebarang majlis rasmi.

Asmaiza juga meminta Maszlee menilai semula tindakan dan keputusan yang dibuat oleh kementerian terbabit supaya ia adil untuk semua pihak.

“Malah ada wakil rakyat mereka yang ‘tembus’ ke kawasan orang lain bagi merasmikan satu-satu majlis.

“Saya minta supaya dia (Maszlee) nilai semula arahan yang dikeluarkan olehnya semalam dan berlaku adil kepada kami,” katanya.

Semalam, di Dewan Rakyat, Maszlee menegaskan Ahli Parlimen pembangkang yang berhasrat masuk ke sekolah milik kerajaan persekutuan untuk menghadiri sebarang program perlu mendapatkan kebenaran daripada Kementerian Pendidikan.

Maszlee berkata, pekeliling juga sudah dikeluarkan bahawa permohonan perlu dibuat kepada kementerian melalui Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) jika wakil rakyat terbabit berhasrat berbuat demikian. – Suara.TV

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.