Guru Wanita Maut Dipukul Suami Dengan Rak Penyidai Baju

GEORGE TOWN – Seorang wanita maut dipercayai akibat dipukul dengan rak penyidai baju oleh suaminya dalam satu pertelingkahan di sebuah pangsapuri sewa di Air Itam, kelmarin.

Kematian wanita itu bagaimanapun hanya diketahui semalam, selepas suaminya yang merupakan seorang guru, menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim di Kedah kira-kira pukul 4.30 petang.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Che Zaimani Che Awang berkata selepas pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada IPD Kulim, sepasukan polis kemudiannya membawa suspek berusia 42 tahun itu ke kediaman mereka di Air Itam pada pukul 5.45 petang.

Beliau berkata sebaik tiba, polis menemui mayat T Santi, 39, dalam keadaan berlumuran darah di bilik belakang pangsapuri itu dan pemeriksaan awal mendapati terdapat beberapa kesan kecederaan di bahagian kepalanya.

“Suspek mendakwa dalam kejadian itu dia terjaga dari tidur pada pukul 10.00 malam sebelum berlaku perselisihan faham dengan isterinya, dan dia kemudiannya bertindak mengambil rak penyidai baju lalu memukul kepala wanita itu,” katanya malam tadi.

Che Zaimani berkata lelaki itu kemudiannya bertindak keluar dari rumah pada pukul 11.00 malam, dan pulang ke kampungnya di Kulim; sebelum datang semula ke pangsapuri berkenaan pada pukul 11.00 pagi ini dan mendapati isterinya masih tidak sedarkan diri.

Katanya lelaki berbangsa Cina itu kemudian memaklumkan kejadian kepada keluarganya sebelum mereka mengarahkan dia membuat laporan polis di IPD Kulim.

“Pemeriksaan oleh pakar Patalogi mendapati wanita yang bekerja sebagai guru tuisyen itu mati di tempat kejadian akibat dipukul dengan benda tumpul di kepala dan pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kesan kecederaan di sebelah kanan kepala, kening dan telinga,” katanya.

Beliau berkata pasangan itu berkahwin sejak 10 tahun lepas dan tidak mempunyai anak.

Menurutnya, mayat wanita itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat manakala lelaki itu ditahan untuk siasatan lanjut, dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.