Dia Tidak Malu Fitnah Negara Yang beri Kebaikan, Pelajaran – Dr. Maza

Oleh: Naimah Shaari

 

KUALA LUMPUR – “Malangnya, dengan tidak malu dia memfitnah negara yang memberi kebaikan yang banyak untuk dirinya sehingga mempunyai pelajaran kemudian menjadi menteri,” itu adalah kata-kata yang dibuat oleh Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin di laman Facebooknya.

Meski pun tidak menyebut nama individu yang didakwa dalam statusnya itu, ramai yang dapat mengagak identiti individu itu yang disebut oleh Dr. Asri atau lebih mesra dipanggil Dr. Maza merujuk kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy yang telah mencipta kontroversi bersabit isu ICERD selepas video lamanya memburukkan negara termasuk kononnya Malaysia menghadapi masalah pencabulan hak asasi yang kronik tular di media sosial.

Dr. Maza turut menggelar Waytha sebagai pengkhianat kerana memfitnah Malaysia berikutan mendakwa negara ini tidak memberikan hak yang sewajarnya kepada kaum India termasuk dirinya.

Beliau turut membuat perbandingan antara negara India dan Malaysia mengenai layanan terhadap rakyat yang sama-rata diamalkan di Malaysia berbanding layanan mengikut kasta di India.

“Jika di India ada pengkhianat seperti itu, saya percaya dia tidak sempat masuk ke Dewan Parlimen pun. Itu pun si pengkhianat itu menganggap kononnya dia tidak diberikan hak di Malaysia. Di India, masjid pun sukar hendak dibina, apatah lagi untuk membina atas tanah haram kemudian meminta kerajaan mengiktiraf.

“Di Malaysia, tidak pernah ada kawasan seperti di India yang kasta tertentu tidak dibenarkan masuk. Tiada masyarakat dihambakan ataupun diperlakukan kerana kastanya di sini seperti yang berlaku di India.

“Bahkan perkataan ‘pariah’ pun tidak pernah ada dalam ajaran Islam ataupun adat istiadat Melayu. Siapakah yang membawa perkataan itu ke sini kemudian dia pula yang mendakwa Malaysia mengamalkan diskriminasi kaum yang begitu teruk? Apakah rakyat Malaysia boleh membiarkan individu seperti itu terus berada di Malaysia?” tulis Dr. Maza.

Justeru itu, Dr. Maza memuji tindakan ahli parlimen UMNO dan PAS yang membantah dan lantang menyuarakan pendapat mereka membidas kenyataan Waytha yang tegas mempertahankan akan menyokong ICERD diratifikasikan. – Suara.TV.

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.