Cetek Pengetahuan Sejarah & Perlembagaan, Punca Pemimpin PH Mahu Laksana ICERD – Dr Teo Kok Seong

KUALA LUMPUR – Isu ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) tidak akan menjadi polemik atau perdebatan jika pemimpin Pakatan Harapan (PH) memahami dan memperhalusi sejarah lama negara dan isi kandungan Perlembagaan Persekutuan.

Namun, disebabkan kecetekan pengetahuan dalam kedua-duanya menyebabkan pemimpin PH dilihat bersungguh-sungguh berjuang mahu melaksanakan ICERD di Malaysia.

Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong mengakui amat sedih dan kecewa dengan senario semasa kerana pemimpin yang ada sekarang tidak pernah mahu menggali sejarah tanahair sendiri.

Beliau yang juga Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) berkata, ICERD kalau difahami dengan betul-betul dibuka untuk ditandatangani dan disahkan mulai 21 Disember 1965 dan berkuatkuasa pada 4 Januari 1969.

Sedangkan Persekutuan Tanah Melayu dibentuk pada tahun 1957 dan menjadi Malaysia pada tahun 1963.

Ini bermakan Perlembagaan Persekutuan lebih dahulu dibentuk dan diwujudkan berbanding ICERD.

Himpunan Kebangkitan Ummah pada Sabtu lalu dihadiri lebih 30,000 orang Melayu Islam dan Bumiputera di Pasir Salak turut menyuarakan bantahan terhadap sebarang usaha untuk ratifikasi ICERD.

Dalam proses pembentukan negara, British dan pembesar-pembesar dahulu telah lebih awal mewujudkan Perlembagaan Persekutuan dengan begitu teliti kerana mengambil kepentingan orang Melayu sebagai penduduk asal dan orang China dan India yang datang ke negara ini.

“Pemimpin kita dahulu telah lebih awal mengambil pertimbangan mengenai kedudukan Melayu, bukan Melayu; golongan majoriti, minoriti.

“Bab agama, kedudukan istimewa Raja-Raja Melayu, bumiputera di Sabah dan Sarawak, bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan soal kerakyatan. Semuanya dicakna dengan begitu teliti, dihalusi dengan sempurna bagi memastikan keharmonian Tanah Melayu yang kemudian menjadi Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Berita Berkaitan;-

Kaum Bukan Melayu Tidak Berhak Tuntut Ratifikasi ICERD, Kata Dr Low Yong San

Mahathir Dakwa Isu ICERD Mungkin Jadi Kecoh Kerana Hasutan Zahid

UMNO dan PAS Desak Kerajaan PH Muktamadkan Keputusan Tolak ICERD

Sebagai contoh, menurut Kok Seong, dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa “Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan.”

Begitu juga bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan tiada seorang pun boleh dilarang atau dihalang daripada menggunakan (selain bagi maksud rasmi), atau daripada mengajarkan atau belajar, apa-apa bahasa lain; dan tiada apa-apa jua dalam Fasal ini boleh menjejaskan hak Kerajaan Persekutuan atau hak mana-mana Kerajaan Negeri untuk memelihara dan meneruskan penggunaan dan pengajian bahasa mana-mana kaum lain di dalam Persekutuan.

Dua contoh itu adalah bukti penting yang menunjukkan Perlembagaan Persekutuan tidak pernah melakukan diskriminasi atau melayan secara tidak adil mana-mana kaum.

“Malah, dalam bab agama, Perkara 3(1) jelas menunjukkan kesamarataan apabila pengakuan agama Islam dan agama lain boleh diamalkan diletakkan sebaris dalam satu ayat. Bukan ayat bersambung atau perenggan yang berbeza. Semuanya dalam satu ayat, satu nokhtah.

“Nampak tak bagaimana pemimpin dahulu berusaha memastikan setiap perkara dalam Perlembagaan Persekutuan begitu terperinci, begitu halus. Jadi mana diskriminasinya.

“Pada saya, kita sudah menggubal ‘ICERD’ kita sendiri berdasarkan acuan sendiri mengikut kepentingan negara. Kenapa perlu ada ICERD luar untuk memelihara kepentingan Malaysia,” soal Kok Seong lagi.

Lantaran itu, beliau berkata, sudah sampai masanya 222 ahli Parlimen duduk berbincang, mengenepikan apa sahaja sentimen, perbezaan politik dan berbincang secara rasional dan matang apa keperluan ICERD sedangkan Tanah Melayu/Malaysia terlebih dahulu memiliki Perlembagaan Persekutuan yang cukup telus.

Pemimpin UMNO dan PAS bergabung tenaga memperkukuhkan kerjasama dan mengetepikan perbezaan demi sama-sama mempertahankan kepentingan Islam dan orang Melayu serta Bumiputera. – Himpunan Kebangkitan Ummah, Tolak ICERD, Pasir Salak

Beliau menyifatkan pemimpin PH yang mahu memperjuangkan pelaksanaan ICERD semata-mata mahu menunjukkan sifat liberal mereka, kononnya mahu menunjukkan kelainan daripada Barisan Nasional.

Akibatnya, mereka ghairah memperjuangkan ICERD tanpa memikirkan masa depan negara.

Lantas, tindak-tanduk pemimpin PH terutama yang bukan Melayu menunjukkan mereka langsung tidak peduli tentang sentimen penduduk majoriti Malaysia.

“Pada pandangan saya, keterujaan mereka ini menyebabkan orang Melayu yang pada awalnya dalam keadaan terkejut, kini bertukar menjadi marah.

“Saya bimbang orang Melayu mengamuk akibat tindak balas kejutan ini,” tambahnya sambil menasihatkan pemimpin PH terutama yang muda dan golongan yang tidak membaca dan memahami sejarah berhati-hati apabila mengeluarkan kenyataan.

Beliau mengingatkan, dalam keterujaan untuk melakukan pembaharuan atau reformasi, jangan sesekali lupa bahawa Malaysia mempunyai sejarah lama yang sepatutnya menjadi kesinambungan kepada sejarah moden negara.

“Jangan lihat sejarah negara separuh-separuh. Sejarah lama Persekutuan Tanah Melayu bermula dari sebelum penjajahan British lagi.

“Ketika itu orang Melayu mempunyai kuasa, mereka adalah pembesar dan terdiri daripada golongan bijaksana. Mereka juga golongan pemikir. Namun, ia semua musnah sebab dijajah.

“Sebab itulah wujud Ketuanan Melayu. Istilah ini jangan sesekali lupa walaupun ada pemimpin lama dan muda cuba menggantikan Ketuanan Melayu dengan Ketuanan Malaysia.

“Mana boleh begitu, jangan sesekali pincangkan sejarah. Kalau ia berlaku rosaklah semuanya.

“Kalau sayang negara, peluk, dukunglah sejarah lama kuat-kuat. Tidak mungkin ada sekarang, jika tidak ada dulu. Sebab itu sejarah merupakan kisah yang berkaitan, kesinambungan.

“Bukan hentam sahaja kerana cara itu akan hanya merosakkan seluruh ekosistem sebuah negara. Dan, bibit-bibit kerosakan ini nampaknya sudah muncul” tegas Kok Seong. – MalaysiaGazette

6 thoughts on “Cetek Pengetahuan Sejarah & Perlembagaan, Punca Pemimpin PH Mahu Laksana ICERD – Dr Teo Kok Seong

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.