Pemuda BN Perlu Sentiasa Dekati Pengundi Muda – Najib

PEKAN – Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) perlu berterusan mendekati pengundi muda terutama yang kali pertama mengundi menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kata Datuk Seri Najib Razak.

Pengerusi BN itu berkata, jumlah pengundi muda yang bertambah akan menjadi penentu kemenangan kepada parti yang bertanding pada pilihan raya akan datang.

Justeru, Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO mahu pergerakan Pemuda BN sentiasa mendekati pengundi muda di kawasan masing-masing termasuk menyalurkan pelbagai bantuan.

“Kita juga minta mereka memantau media sosial bagi mengetahui permasalahan mereka dan berusaha menyelesaikannya supaya mereka terus menyokong UMNO dan BN.

“Di Parlimen Pekan contohnya terdapat 23,000 pengundi muda berusia 20 hingga 40 tahun termasuk yang kali pertama mengundi. Jadinya, jentera pilihan raya Pemuda UMNO dan BN perlu sentiasa dekati dan fahami mereka.

“Bukan seperti pembangkang… macam Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) yang tidak ada dalam perlembagaan partinya dan menipu orang muda. Mereka cuba ikut perlembagaan UMNO tetapi tidak mampu,” katanya.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata demikian ketika melancarkan Pemukiman Jentera Barisan Nasional (BN) P.085 Pekan di Kem PLKN Semarak, Tanjung Selangor, di sini, semalam.

Yang turut hadir, Ketua Pemuda UMNO Pekan, Datuk Shahruddin Ahmad.

Seramai 1,200 Pemuda BN Parlimen Pekan hadir pada program pemukiman selama dua hari. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.