Main Di Selangor, Evan Dimas Mampu Beli Honda Jazz Setiap Bulan

Selangor kini sedang berunding bagi mendapatkan pemain Bhayangkara FC, Evan Dimas sebagai persediaan mengharungi Liga Malaysia (Liga M), musim 2018.

Pengendalikanya, P Maniam mengesahkan skuad The Red Giants itu mahu rundingan dengan pemain yang beraksi dengan pasukan juara Liga 1, Indonesia itu dapat diselesaikan segera sebelum perpindahan dapat dimuktamadkan secara rasmi, seperti yang dilaporkan Harian Metro.

Dimas dikatakan berminat untuk memilih menyertai Selangor susulan ditawarkan gaji setinggi RM83,000 sebulan dan sejarah pasukan itu sendiri menyaksikan Selangor menjadi antara pasukan yang kerap mendapatkan pemain import dari republik berkenaan.

Khabar angin pemain tengah skuad Garuda Muda itu bakal menyertai juara Piala Malaysia 33 kali berkenaan bertiup kencang sejak minggu lalu, apabila beberapa laporan media di Indonesia menyatakan Dimas menolak tawaran kelab Thailand, Chonburi FC.

Sementara itu, berita mengenai rundingan terbabit turut mendapat tempat di media indonesia malah dengan gaji sebanyak itu, Dimas dikatakan mampu membeli sebuah kereta honda jazz setiap bulan.

Ini kerana menurut syarikat Otomotifnet.com, gaji Evan Dimas setara dengan harga Honda Jazz jenis manual yang dipasarkan di Indonesia.

Justeru dengan tawaran gaji dari Selangor, tidaklah menghairankan apabila Evan Dimas memilih hijrah dari  Indonesia, lapor Tribune news.

Sebelum ini, saingan Liga M sudah biasa disajikan dengan aksi pemain import Selangor dari Indonesia seperti Ristomoyo Kassim, Bambang Pamungkas, Elie Aiboy dan juga Andik Vermansyah.