Elak Kebocoran Data, Pengguna Internet Disaran Tukar Kata Laluan Tiga Bulan Sekali

KUALA LUMPUR – Pengguna internet disaran menukar kata laluan akaun laman sosial mereka sekurang-kurangnya tiga bulan sekali.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Jailani Johari berkata, langkah itu sebahagian daripada kaedah mengekang kebocoran data peribadi daripada berlaku.

“Sebagai pengguna, seharusnya memastikan, seboleh-bolehnya, jangan kongsikan apa sahaja maklumat mengenai kita di dalam media sosial yang kita punya.

“Sebaik-baiknya, sekurang-kurangnya tiga bulan sekali, kita tukar kata laluan. Dan kalau boleh kita gunakan alphanumeric numbers.

“Dan kita juga jangan sewenang-wenangnya memaut mana-mana pautan yang kita rasakan tidak sesuai kerana ia akan memberikan kesan kepada kita,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan daripada Datuk Raime Unggi (BN-Tenom) yang bertanya langkah yang diambil oleh Kerajaan dalam kes pembocoran data peribadi.

Menurut Jailani lagi, pihak kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif dalam memastikan pengguna internet dilindungi daripada kebocoran data peribadi.

“Walaupun demikian, kita masih mengadakan satu kerjasama yang kita namakan pendekatan berbilang serampang di antara agensi-agensi berkaitan, bagi memastikan gejala penularan kandungan serta berita palsu di pelbagai platform dapat dikekang,” katanya.

BACA: 5 tip elak jadi mangsa penggodam, kecurian identiti

Minggu lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata polis telah mengenal pasti dan sedang mengambil tindakan terhadap sumber yang membocorkan maklumat lebih 46 juta data peribadi pelanggan syarikat komunikasi.

Kebocoran data itu katanya, berlaku semasa proses transaksi penukaran data oleh pihak yang mengambil kesempatan. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.