Buang Kolagen Di Dagu, ‘Rasa Macam Nak Mati’

KUALA LUMPUR — Usahawan kosmetik menanggung azab apabila membuang kolagen yang dimasukkan ke dagunya untuk kelihatan cantik. 

“Azabnya jangan cakaplah, hanya Tuhan sahaja yang tahu. Rasa nak mati pun ada,” kata Sarina Shafie, 38, lapor Metro.

Beliau menyuntiknya pada usia 25 tahun “agar kelihatan cantik seperti selebriti” dan “tidak mahu ketinggalan dengan trend popular” waktu itu.

Namun sepuluh tahun kemudian, Sarina yang meniaga jenama Syok Cosmetics mula berdepan masalah dan dipandang serong atau aneh oleh orang ramai.

Orang ramai, ceritanya lagi, mula bertanya “kenapa dagu panjang, kenapa dagu pelik, kenapa dagu terpisah dari muka, kenapa muka dulu cantik.” 

Tertekan dengan macam-macam soalan dan juga dagunya mulai sakit, Sarina memberanikan diri berjumpa doktor dan disarankan membuangnya. 

Kos memasukkan kolagen itu hanya RM300, katanya, tetapi beliau menghabiskan RM12,000 untuk membuangnya, termasuk kos rawatan susulan dan ubat.

Pembedahan yang dijalankan beberapa bulan lalu memakan masa empat jam dengan 20 suntikan penahan sakit di bahagian dagu dan mulut. 

Menurut akhbar itu lagi, satu lubang ditebuk di bawah dagu untuk memasukkan besi yang dipanaskan agar kolagen cair sebelum disedut keluar. 

“Memang ngeri bila diingat kembali saat pembedahan dilakukan,” katanya, “dan selepas itu muka saya bengkak teruk …” 

Tambah Sarina, beliau tidak boleh makan selama dua minggu dan proses rawatan itu sembuh sepenuhnya dalam tempoh enam bulan. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.