Anuar Zain Suka ‘Klik’

KUALA LUMPUR: Keupayaan vokalnya yang memukau bukanlah satu-satunya ‘anugerah’ dimiliki penyanyi hebat, Anuar Zain.

Mungkin ramai tidak tahu, pelantun lagu Lelaki Ini rupa-rupanya berbakat dalam bidang seni fotografi. Malah, perkara itu diakui teman-teman rapat adik kepada penyanyi popular, Ziana Zain ini.

Terbaharu, ketika menjayakan sesi fotografi produk skaf yang diusahakannya iaitu AwanbyAz, Anuar sibuk mengetik kamera mencari sudut menarik untuk ‘menghidupkan’ koleksi yang dijual.

“Memang benar, separuh daripada sesi fotografi, sayalah yang merakamkan gambar. Selebihnya dilakukan jurugambar profesional.

“Soal penataan cahaya dan elemen lain semuanya siap diatur mengikut apa yang dimahukan, jadi saya hanya merakamkan gambar. Sesi fotografi skaf ini pun ringkas saja,” katanya kepada BH Online.

Anuar berkata, dia menyusun strategi bagi memastikan langkah pertamanya dalam dunia perniagaan mencapai sasaran.

“Saya berusaha sedaya mungkin bagi merealisasikan perniagaan ini… Maklumlah projek ‘baby’ saya,” katanya yang terkenal dengan sikap teliti ketika bekerja mahupun berkarya.

Selepas tiga dekad mengabdikan diri dalam dunia seni, Anuar Zain akhirnya menceburi perniagaan dengan menjual koleksi skaf melalui talian iaitu di www.shopbyaz.com.

Tambah Anuar, kejayaan teman artis yang menceburi perniagaan menyuntik semangatnya untuk melakukan perkara sama.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.