Amir Terhutang Budi

Nama penyanyi Amir dan komposer Saari Amri ibarat aur dengan tebing dalam menaikkan nama kumpulan Ukays.

Tanpa suara nyaring dan gemersik Amir, Ukays pasti tidak ke mana. Tanpa lagu berbisa ciptaan Saari, tentu sukar untuk kumpulan yang wujud pada awal 1990-an ini mencipta populariti sehingga dikenali termasuk di Indonesia.

Tidak dinafikan hayat Amir dalam industri muzik sehingga hari ini banyak dibantu lagu berhantu ciptaan Saari.

Dalam mana-mana persembahan, lagu Saari menjadi lagu wajib untuk dinyanyikannya.

Amir, 46, berkata, dia tidak perlu bersusah-payah berfikir memilih menyanyikan lagu artis lain ketika mengadakan persembahan.

“Untuk apa saya menyampaikan artis lain sedangkan Ukays sendiri mempunyai banyak lagu popular. Ada baiknya saya gunakan masa yang ada untuk menyanyikan lagu Ukays sendiri.

“Lagu seperti Kau Satu-Satunya, Siapa Yang Rampas Cintamu, Bila Diri Disayangi, Balada Ani, Seksa, Kekasihku Di Menara dan Di sana Menanti Di Sini Menunggu sering ditunggu peminat. Lagu ini juga kerap mendapat permintaan peminat di radio,” katanya.

Menerusi penyertaannya dalam Gegar Vaganza 2, Amir kembali meniti populariti dan laris memenuhi undangan menyanyi di sana sini.

“Saya amat menghargai Saari dan menerusi lagu ciptaannya saya mencari rezeki sehingga kini. Memang sepatutnya saya tak melupakan jasanya.

“Dia bertanggung­jawab memperkenalkan nama saya dalam industri muzik. Walaupun saya kena marah teruk ketika dalam studio, saya tetap menghormatinya,” katanya.

Menurut Amir, kerana sikap cerewet Saari, dia terpaksa mengambil masa selama lapan jam me­nyiapkan rakaman lagu Seksa.

“Bayangkan komposer Lan Laga yang menjaga vokal saya turut menggelengkan kepala ketika itu. Lagu itu dinamakan Seksa kerana saya terasa seksa nak menyanyikannya.

“Apabila sudah siap, Saari minta saya datang ke studio lagi untuk proses mencantikkan lagu dan ia ambil masa beberapa jam lagi,” katanya mengimbas kisah lalu.

Jayakan showcase istimewa buat peminat Amir akan menjayakan ‘showcase’ istimewa buat peminatnya pada 1 Disember ini di Restoran D’Saji Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Persembahan anjuran Restoran D’Saji Taman Tasik Titiwangsa dan Best FB KL Concerts dengan kerjasama Indera Management ini dijadualkan bermula jam 8 malam.

“Saya akan menyampaikan 12 lagu yang dibahagikan kepada dua segmen iaitu secara akustika dan ‘live’ band.

“Saari Amri juga akan berduet dengan saya menerusi lagu Kita Masih Sama,” katanya.

Menurutnya, lagu ini pernah dirakamkan mereka dalam album berjudul Amir Ukays Menya­nyikan Karya Saari Amri pada 1995.

“Apa yang dibuat adalah penghargaan saya buat Saari. Saya giat mengadakan latihan sekarang termasuk menghafal semula lagu popular dulu. Ia bukan kerja mudah.

“Persembahan ini hanya dirancang seminggu selepas saya hadir menyaksikan persembahan Zamani Slam di lokasi sama pada 6 Oktober lalu,” katanya.

Perancangan awal, ‘showcase’ ini dijadualkan untuk kumpulan Spring tetapi mereka berdepan masalah dalaman dan Amir akhirnya mengambil tempat.

Maklumat tiket berharga RM100 hingga RM300, sila layari laman web MyTicket.Asia atau datang terus ke kaunter D’Saji Titiwangsa KL.-Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.