Yuna Putus Cinta Lagi

Kuala Lumpur – Penyanyi tempatan yang mencipta nama di pentas antarabangsa, Yuna mengesahkan hubungannya bersama jejaka Inggeris dikenali sebagai Julian Schratter sudah berakhir.

Enggan memikirkan soal cinta buat masa ini, Yuna mahu memberi tumpuan pada kerjaya seninya yang semakin dikenali ramai peminat khususnya di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Menurut penyanyi yang popular dengan lagu Lelaki, tiada apa yang dikesalkan daripada perpisahan tersebut. Malah, kehidupan solonya ketika ini tetap membuatkan dia lebih produktif dengan jadual seni yang padat.

Walaupun seorang yang berahsia tentang kisah peribadi, hubungan Yuna dan Julian menjadi bualan hangat ramai tambahan jejaka itu pernah mengikut kekasihnya pulang ke Kuala Lumpur, sekitar dua tahun lalu.

“Saya solo sekarang. Saya tidak berkawan rapat dengan mana-mana lelaki sebab saya rasa ia susah kerana saya seorang yang sangat sibuk dengan kerja.

“Lagipun saya tahu, sukar untuk orang lain memahami kerja seperti saya. Tambahan, saya mempunyai kehidupan di LA dan juga di Malaysia.

“Jika mahu bercinta kembali, saya perlu mencari seseorang yang boleh menerima dan betul-betul memahami saya. Mungkin dia (Julian) kurang sesuai,” katanya pada sidang media E! News Asia Special di Kuala Lumpur, semalam.

Perkembangan terbaru, Yuna atau nama sebenar Yunalis Zarai, 28, menjadi selebriti kedua kelahiran Malaysia dipilih selepas pelakon Lisa Surihani untuk tampil dalam program E! News Asia Special.

Menariknya, program selama 30 minit itu secara eksklusif membongkar dan mendedahkan rahsia tentang siapa sebenar gadis yang dikenali dengan jolokan ‘A poster girl for young hijabisters’ yang bukan saja berjaya di tanah air tetapi semakin membina nama di Amerika Syarikat.

“Saya akui seorang yang cukup berahsia terutama hal peribadi tetapi kali ini, saya sangat selesa dan teruja mahu berkongsi dengan peminat tentang siapa sebenarnya diri saya yang mereka tidak pernah tahu selama ini,

“Ada banyak yang menarik dan istimewa yang saya dedahkan menerusi program ini antaranya berkongsi gambar sewaktu kecil dan mungkin tidak ramai yang tahu saya cukup rapat dengan keluarga, atuk, nenek, sepupu sdan saudara mara.

“Keluarga saya adalah paling utama dalam hidup dan saya mahu kongsikan pada umum mengenai dunia saya yang bukan saja sebagai seorang penghibur yang mereka kenali selama ini,” katanya yang akan muncul menerusi program E! News Asia Special: Yuna’ di Astro (Saluran 712) pada 25 November ini,  jam 10 malam.

Dalam perkembangan lain, Yuna yang masih bercuti akan ke Makkah untuk menunaikan umrah pada 14 Disember depan.

“Insya Allah sebelum pulang ke LA, saya akan menunaikan umrah bersama keluarga dan ini adalah pengalaman pertama kali saya ke sana,” katanya yang akan bersaing dalam program Muzik-Muzik Separuh Akhir pada 28 November ini

Sementara itu, Yuna giat mengusahakan butik atas talian dikenali November Culture bersyukur terhadap penerimaan peminat antarabangsa. Dia kini dalam proses mengumpulkan karya untuk album terbaru yang dijangka berada di pasaran pada pertengahan tahun hadapan.

“Alhamdulillah, semakin baik tapi saya harus bekerja keras lagi. Sebelum balik bercuti kali ini, saya sudah melaksanakan beberapa projek seperti rakaman muzik video dan konsert jelajah.

“Untuk projek terkini, saya berkolaborasi G-eazy yang menyanyikan bahagian rap dalam lagu saya, Light And Camera (versi remix),” katanya.

Katanya, LA dianggap seperti rumah kedua dan dia selesa menjalani kehidupan di sana.

“Lebih-lebih lagi sekarang saya sudah boleh memandu dan jika ada masa lapang, saya suka memandu kereta bersiar di bandar.

“Di sana saya lebih bebas maksudnya jika di sini ramai peminat yang kenal dan apabila keluar ke pusat membeli-belah ada saja yang akan perasan berbanding di sana tidak ramai yang kenal,” katanya.

Selain itu, Yuna menyatakan impian melancong mengelilingi dunia sebelum usia mencecah 30 tahun dan berhasrat ingin berkolaborasi dengan beberapa artis antarabangsa seperti kumpulan Coldplay dan John Mayer.

“Sejak kebelakangan ini saya kerap mendengar lagu John Mayer. Alangkah seronoknya jika saya dapat berkolaborasi dengan dia tetapi sebenarnya, saya nak sangat berkolaborasi dengan Coldplay.

“Apabila saya dengar lagu Rihanna dengan Coldplay, saya cemburu sebab saya rasa sepatutnya saya yang berkolaborasi dengan mereka,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.