PAS Selangor Gesa Pampasan RM2.6 Juta Disiasat

Shah Alam – PAS menggesa agar siasatan dijalankan terhadap bayaran pampasan bernilai RM2.6 juta terhadap bekas kakitangan yang bekerja dengan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Khalid Samad berkata, daripada jumlah itu, bekas Setiausaha Politik Khalid Ibrahim, Faekah Husin merupakan penerima pampasan terbesar dengan jumlah lebih RM700,000.

“PAS Selangor, menggesa buat siasatan terperinci dan siasat melalui Selcat, dan sekiranya perlu melalui SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia).

“PAS Selangor menolak apa-apa dakwaan yang kami bersetuju meluluskan bayaran tersebut,” kata ahli Parlimen Shah Alam itu pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Khalid Samad berkata, empat anggota Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) daripada PAS hanya dimaklumkan berkenaan cadangan bekas menteri besar Selangor itu untuk membayar pampasan kepada enam pegawainya, namun tidak mengetahui jumlah pembayaran tersebut.

“Exco tidak meluluskan kerana kelulusan dibuat oleh Lembaga Pengarah Perbadanan Menteri Besar (MBI).

“Usaha melibatkan empat exco PAS ini berniat jahat untuk memalitkan PAS dalam hal ini,” kata Khalid Samad.

Khalid Samad berkata, semua exco berkenaan terkejut kerana pembayaran berkenaan dibuat menggunakan sistem pembayaran elektronik yang seharusnya dibincangkan terlebih dahulu.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua yang turut hadir berkata, tindakan Khalid Ibrahim berhubung perkara itu seharusnya disiasat kerana ia membabitkan dana awam.

“Ini satu pengkhianatan kepada rakyat. Seharusnya beliau yang diketahui menjaga amanah rakyat, tetapi sekarang amanah itu pecah,” katanya.

The Malaysian Insider sebelum ini melaporkan, Faekah didakwa menerima RM581,400 sebagai pampasan dan RM114,000 sebagai ganti kepada notis tiga bulan, manakala Setiausaha Akhbar Khalid Ibrahim, Arfa’eza Abdul Aziz menerima pampasan RM358,000 dan RM55,000 ganti kepada notis tiga bulan dan Setiausaha Politik Mustapa Mohd Talib menerima RM265,000.

Pembantunya yang lain didakwa dibayar antara RM97,000 dan RM230,000 masing-masing sebagai pampasan dan di antara RM18,000 dan RM69,000 sebagai ganti kepada notis tiga bulan mereka.

Faekah dan Arfa’eza tidak menjawab sebarang panggilan atau mesej sistem pesanan ringkas daripada The Malaysian Insider, sementara Khalid Ibrahim menafikan sebarang salah laku, mengatakan beliau mengikut prosedur yang betul.

Akhbar The Star melaporkan Khalid Ibrahim sebagai berkata, bayaran tersebut dibuat mengikut Skim Pemisahan Sukarela (VSS) yang ditawarkan kepada pembantunya apabila beliau meletakkan jawatan.

Dalam menjawab persoalan mengenai rasional pembayaran tersebut, Khalid Ibrahim berkata bayaran VSS tersebut hanya kurang 2% daripada rizab MBI yang berjumlah RM112 juta.

Beliau berkata, bayaran tersebut diluluskan ahli lembaga pengarah MBI, termasuk setiausaha kerajaan negeri dan pegawai kewangan negeri, serta exco kerajaan negeri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.