Nokia lancar tablet Android, N1 awal tahun depan

Sebastian Nystrom menunjukkan tablet Android baharu keluaran Nokia, N1. – Foto Reuters

HELSINKI: Beberapa bulan selepas menjual perniagaan telefon mudah alih kepada Microsoft, Nokia kini kembali kepada pasaran peranti pintar menerusi pelancaran tablet baharu.

Noki, bekas pengeluar nombor satu telefon mudah alih, yang memang mempunyai sejarah mencipta semula diri sejak ia bermula sebagai syarikat kertas pada abad ke-19, kini mengumumkan akan memperkenalkan tablet 7.9-inci awal tahun depan.

Pelancaran peranti itu akan dibuat di China, pasaran terbesar dunia sebelum ke pasaran lain.

Tablet itu akan dikeluarkan Foxconn, pengilang yang berpangkalan di Taiwan dan turut menjadi pengeluar kontrak untuk Apple. Peranti terbaru Nokia itu nanti akan menggunakan sistem operasi Android, bukannya Windows yang digunakan pada telefon pintar Nokia apabila ia bekerjasama dengan Microsoft pada 2011.

Kerjasama itu tidak menjadi, Nokia menjual perniagaan telefon mudah alih kepada Microsoft pada April lalu, membabitkan pertimbangan AS$7.2 bilion (RM24.2 bilion).

Dalam pada itu, ketua unit teknologi Nokia, Sebastian Nystrom, berkata tablet N1 adalah permulaan baharu bagi Nokia.

Baginya, pemilihan sistem operasi (OS) Android memang wajar kerana digunakan hampir 80 peratus daripada pengguna peranti mudah alih dunia berbanding hanya 2.5 peratus menggunakan Windows.

Tablet itu yang dibuat daripada aluminium, akan menggunakan OS Android Lollipop keluaran Google dan dijual pada kira-kira AS$250 (RM841) seunit.

Penganalisis bagaimanapun melihat perubahan yang cuba dipacu Nokia itu sebagai bukan mudah terutama kerana kelemahan syarikat itu daripada aspek rangkaian pemasaran dan pengedaran.

“Memang akan ada cabaran, tetapi Nokia sudah ada hala tuju. Nokia tidak ada rangkaian pengedaran seperti Samsung dan Apple, akan tetapi tablet Android memang bukan lagi satu produk menguntungkan setakat ini,” kata Neil Mawston daripada Strategy Analytics.

Bagaimanapun, Nokia yang diasaskan pada 1865 sudah banyak kali menunjukkan keupayaan untuk berubah.

Syarikat itu yang dinamakan sempena sebuah bandar kecil di selatan Finland, sudah berubah daripada pengeluar kertas kepada pengeluar but dan kabel sebelum menjadi sebuah syarikat elektronik.

Ia mencapai kemuncak sebagai pengeluar telefon mudah alih nombor satu, malah pernah menguasai 40 peratus bahagian pasaran pada 2008. Namun, selepas 14 tahun sebagai pemain utama, Nokia seperti hilang punca apabila Apple memperkenalkan iPhone pada 2007 dan sejak itu prestasi Nokia terus merudum sehinggalah terpaksa keluar terus daripada perniagaan telefon mudah alih.

Malah, jenama Nokia terus pupus daripada pasaran telefon pintar apabila minggu lalu telefon pintar Microsoft Lumia dilancarkan. Lumia adalah jenama telefon pintar Nokia sebelum ini.

Dalam pada itu, selain memperkenalkan tablet awal tahun depan, pegawai Nokia juga mengumumkan rancangan mengeluarkan telefon pintar Android pada 2016, selepas tamatnya tempoh bertenang yang dimeterai dengan Microsoft. – AP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.