MAS Pecat Pramugara Cabul Penumpang Selepas Mengaku Salah

Shah Alam – Penerbangan Malaysia (MAS) mendedahkan bekas pramugaranya yang kini ditahan di sebuah pusat tahanan di Paris atas kesalahan mencabul kehormatan seorang penumpang, diberhentikan selepas mengakui terbabit salah laku.

Presiden Kesatuan Atendan Penerbangan Malaysia Kebangsaan (Nufam), Ismail Nasaruddin berkata, ini didedahkan oleh kakitangan sumber manusia MAS ketika pertemuan perdamaian di Jabatan Perhubungan Industri di Shah Alam, semalam.

“Kami sudah meminta bukti daripada MAS dan pegawai JPI menangguhkan mesyuarat sehingga minggu depan,” kata Ismail yang mengetuai pasukan yang mewakili atendan penerbangan berkenaan.

Nufam memfailkan aduan dengan JPI selepas MAS memecat pramugara berkenaan tanpa mengadakan siasatan dalaman.

Minggu lalu, MAS mengesahkan pekerja itu dipecat kerana salah laku.

The Malaysia Insider difahamkan, lelaki berusia 57 tahun itu dibuang kerja kira-kira dua minggu selepas kejadian terbabit pada 5 Ogos.

MAS mengirim surat bertarikh 22 Ogos ke alamat bekas kediaman pramugara itu di Shah Alam dan seorang jiran menyerahkan dokumen berkenaan kepada seorang ahli keluarga pada 15 September.

Lelaki yang sudah berkhidmat dengan MAS selama 32 tahun itu diberi 60 hari untuk merayu pembuangan kerjanya.

Tetapi kesatuan itu mempersoalkan bagaimana bekas pekerja itu hendak merayu sedangkan dia tidak tahu sudah dibuang kerja.

Kesatuan itu memfailkan aduan di JPI untuk mengarahkan MAS mengambil semula pramugara itu.

Ismail berkata, dia tidak terperanjat atau terkejut dengan pendedahan MAS itu tetapi akan memberi syarikat penerbangan berkenaan peluang bagi menunjukkan bukti pada mesyuarat akan datang.

Sementara itu, peguam Shailender Bhar yang mewakili keluarga bekas atendan penerbangan itu berkata, pelanggannya tidak menulis kepada syarikat penerbangan itu atau pada wakil syarikat yang menemuinya di Paris.

“Saya sudah merujuk kepada dia dan keluarganya. Atendan penerbangan itu tidak menulis sebarang pengakuan salah laku,” tambahnya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.