Hanya Kerana Gagal Undur Kenderaan, Pemandu Teksi Tampar Gadis Hingga Pecah Bibir

Kuala Lumpur – Kes pembuli jalan raya berulang lagi apabila seorang gadis pecah bibir selepas ditampar sekuat hati oleh seorang pemandu teksi.

Dalam kejadian jam 7.40 pagi Isnin lalu, mangsa yang memandu Perodua Myvi diserang suspek gara-gara gagal mengundurkan kenderaan dan memberikan laluan kepada seorang pemandu teksi di Jalan Raja Chulan berhampiran Hotel Istana.

Mangsa, Jeslene Tan, 26, berkata, insiden berlaku ketika dia sedang memandu dari Bandar Manjalara, Kepong sebelum melalui Jalan Raja Chulan.

“Ketika itu terdapat beberapa kenderaan diletakkan di bahu jalan menyebabkan laluan itu menjadi satu lorong. Sebuah teksi dari arah hadapan meluru memasuki laluan sama,” katanya.

Menurutnya, pemandu teksi itu membunyikan hon dan meminta dia berundur, namun dia tidak dapat berbuat apa-apa kerana tiada ruang untuk mengundurkan kenderaan.

” Akibatnya, pemandu teksi itu ‘naik angin’ dan melanggar bahagian hadapan kereta saya.

“Pemandu teksi itu kemudian meluru keluar dari teksi sebelum menampar pipi kiri dan kanan saya hingga menyebabkan bibir pecah serta berdarah,” katanya.

Menurutnya, dia tidak mampu melawan kerana kejadian berlaku secara mendadak sebelum suspek beredar meninggalkan lokasi itu.

Susulan itu, dia membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Insiden ganas itu kemudiannya menjadi viral di laman sosial Facebok selepas mangsa memuat naik status serta tiga keping gambar yang menunjukkan tindakan pemandu teksi itu dan kecederaan dialaminya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Zainol Samah mengesahkan menerima laporan itu dan memberitahu pemandu teksi berusia 48 tahun terbabit sudah ditahan untuk siasatan.

“Suspek ditahan semalam dan disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana merosakkan harta benda dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah,” katanya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.