Badminton Terbuka Hong Kong: Jing Yi kejutkan bekas juara dunia

KUALA LUMPUR  – Perseorangan wanita negara, Tee Jing Yi melakar kejutan terbesar pada kejohanan badminton Siri Super Terbuka Hong Kong apabila menumpaskan bekas juara dunia, Wang Yihan dari China untuk melangkah ke suku akhir di Kowloon, sebentar tadi.
Biarpun berdepan lawan yang memegang reputasi sebagai juara dunia 2011 dan pemain No. 3 dunia, Jing Yi, yang menghuni ranking ke-34 dunia tidak gentar ketika menundukkan Yihan 21-19, 14-21, 21-15 dalam masa 51 minit.
Jing Yi, 23, pemain kelahiran Pulau Pinang kini bakal berdepan laluan getir juara dunia yang juga pilihan kelima, Carolina Marin dari Sepanyol pada suku akhir esok.
Marin yang melakar kejutan muncul juara dunia di Copenhagen, Ogos lalu mara selepas mengecewakan seorang lagi perseorangan wanita Malaysia, Lydia Cheah 21-10, 21-10.
Jing Yi tewas 18-21, 21-16, 10-21 kepada Marin dalam satu-satunya pertemuan mereka di Copenhagen, Ogos lalu. Semalam dia juga dipaksa bekerja keras ketika mengalahkan pemain pusingan kelayakan dari Indonesia, Rusydina Antardayu Riodingin 20-22, 15-21.

– UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.