Akim Terkilan Lagunya Dimuat Naik Tanpa Kebenaran

Petaling Jaya – Penyanyi Akim Ahmad, 23, menganggap komen sebilangan peminat muzik K-pop menyamakan suara dan wajahnya dengan pelakon yang juga penyanyi popular Korea, Lee Hongki sebagai satu pujian.

“Dalam dunia dikatakan kita mempunyai tujuh orang yang sama. Saya bersyukur dan rasa bangga bila disamakan dengan Hongki.

“Saya juga memang tahu tentang band FT Island dan jika peminat gembira, saya okay saja,” katanya kepada Malaysian Digest.

Nama Akim dan Hongki menjadi bualan hangat dalam kalangan peminat selepas muzik video salah satu lagu FT Island berjudul Severely disunting bersama lagu Mewangi nyanyian Akim & Majistret. Video tersebut adalah hasil kreativiti seorang peminat dan telah dimuat naik di laman YouTube.

Katanya, dia memuji kreativiti peminat tersebut tetapi terkilan apabila video itu dimuat naik di laman YouTube sekaligus menyebabkan lagu Mewangi dimuat naik secara tidak sah.

“Saya suka tengok video itu apatah lagi lagu Mewangi secara kebetulan mempunyai kena mengena dengan jalan cerita muzik video FT Island itu.

“Namun, apa yang membuat saya terkilan adalah apabila ia dimuat naik di YouTube, ia secara tak langsung menjadikan lagu Mewangi dimuat turun secara tidak sah melalui mp3.

“Selepas saya dengar semula lagu itu, ia seolah menunjukkan rakaman kurang sempurna atas faktor ia mungkin sudah dipendekkan,” katanya.

Ditanya komen peminat yang mahukan dia menyanyikan lagu FT Island, pelakon drama popular, Kampung Girl ini menyatakan dia menolak kerana tidak pandai berbahasa Korea atau Jepun.

Sementara itu, Akim & Majistret akan membuat persembahan pada majlis Anugerah Industri Muzik (AIM21) yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada 6 Disember depan.

“Untuk persembahan pada malam itu nanti, ada sikit kelainan. Kami akan ubah susunan muzik Mewangi khas untuk persembahan AIM,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.