Adnan Sempit Tunggu Lamaran Meminang

Petaling Jaya – Sejak menjadi pelakon popular menerusi filem Adnan Sempit empat tahun lalu, sudah pasti Shaheizy Sam dihimpit ramai wanita yang mencuba nasib mahu menjadi kekasihnya.

Namun, sehingga kini Sam masih belum mendedahkan siapa gadis bertuah itu termasuk keputusan mahu menamatkan zaman bujang.

Sam yang ditemui Malaysian Digest pada majlis prebiu filem Kaki Kitai di Puchong, Selangor baru-baru ini menyatakan hasrat masih mencari gadis sesuai untuk dijadikan teman hidup.

“Saya tengah menunggu orang masuk meminang,” katanya.

Katanya, dia sudah lama bersedia untuk menggalas tanggungjawab sebagai suami apatah lagi melihat anak saudara semakin membesar.

“Memang ada terdetik di hati untuk berkahwin tetapi mungkin tarikh jodoh yang Tuhan tulis untuk saya belum sampai lagi,” katanya.

Bercerita mengenai kerjaya seni, Sam menyatakan dia baru selesai menjalani penggambaran filem Polis Evo dan berhasrat berehat seketika sebelum kembali semula ke lokasi penggambaran seterusnya.

“Saya mahu bercuti kerana sepanjang tahun ini saya sangat sibuk dengan penggambaran sampai jatuh sakit.

“Saya memang asyik memikirkan tentang kerja dan sebelum ini saya pernah tiada pekerjaan sejak habis sekolah hingga usia mencapai 27 tahun. Jadi, apabila saya mendapat peluang bekerja, saya memang bekerja keras untuk keluarga,” katanya.

Katanya, dia mahu ke luar negara untuk bercuti tetapi masih belum memikirkan destinasi yang mahu dikunjungi.

Dalam pada itu, Sam menyatakan lakonannya menerusi filem terbaru Kaki Kitai arahan Amiro Ghozali, dia menjiwai watak budak kampung bernama Din atau Grenggo yang mempunyai azam mahu mengubah nasib apabila berhijrah ke Kuala Lumpur.

Selain Kaki Kitai akan ditayangkan bermula 20 November ini, Sam juga menantikan filem lakonannya, Kasutku Kusut, Manisnya Cinta di Cappadocia dan Gol menjengah pawagam nanti.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.