Pasangan Kekasih Lari Pemeriksaan Polis, Padahnya Kereta Terhumban Dalam Longkang

BUTTERWORTH – Selepas melarikan diri daripada pemeriksaan polis, sepasang kekasih terpaksa menanggung kesakitan selepas kereta dinaiki mereka terhumban ke dalam longkang dalam kejadian di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB), di sini, malam tadi.

Dalam kejadian pada jam 8.15 malam itu, pasangan berusia 19 dan 25 tahun berkenaan didapati sedang berdua-duaan di dalam sebuah kereta sebelum anggota polis datang mengetuk cermin kenderaan terbabit untuk membuat pemeriksaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata lelaki yang berada di bahagian tempat memandu didapati terkejut dengan kehadiran anggota polis lalu bertindak melarikan diri dengan memecut laju kenderaannya.

“Anggota polis yang sedang membuat tugas rondaan di kawasan itu ternampak kenderaan pasangan terbabit diletakkan di lorong kecemasan dan menghampiri kereta untuk membuat pemeriksaan.

“Namun, pemandunya memecut laju dan melanggar palang tol hingga menyebabkan kenderaannya hilang kawalan lalu merempuh seorang penunggang motosikal.

“Akibatnya, kedua-dua kenderaan itu terhumban ke dalam longkang berhampiran,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Noorzainy berkata, mangsa seorang penunggang motosikal berusia 28 tahun mengalami patah kaki dan kini dirawat di Hospital Seberang Jaya (HSJ).

“Kedua-dua pasangan itu pula dibawa menerima rawatan di Hospital Kepala Batas (HKB) sebelum ditahan untuk siasatan lanjut.

“Ujian air kencing yang dijalankan terhadap pasangan kekasih yang berasal dari Kedah itu didapati negatif dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Noorzainy berkata, polis menahan lima remaja berusia 13 hingga 18 tahun kerana menunggang motosikal secara berbahaya dalam Op Samseng di LLB awal pagi tadi.

Katanya, semua remaja lelaki itu didapati melakukan pelbagai aksi tunggangan yang bukan saja berbahaya kepada diri sendiri namun kepada pengguna jalan raya lain.

“Daripada lima tangkapan itu, empat remaja didapati sudah tidak bersekolah dan seorang lagi adalah pekerja restoran,” katanya. – BH

Lain-lain berita;

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.