Tun M: Pendakwaan Ke Atas Pemimpin UMNO Bukan Bersifat Politik, Ikut Undang-undang

LANGKAWI – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menolak dakwaan segelintir pihak khususnya UMNO bahawa pendakwaan ke atas pemimpin parti itu bermotifkan politik.

Tambah Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu, pendakwaan berkenaan dilakukan mengikut undang-undang berdasarkan aduan yang dilaporkan.

“Undang-undang kita tak ambil kira siapa dia. Undang-undang di Malaysia ini, raja pun tertakluk kepada undang-undang.

“Samada dia pemimpin atau tidak pemimpin kalau buat salah maka pihak yang berkuasa melaksanakan undang-undang akan jalankan tugas mereka (mendakwa).

“Kita tunggulah kita bukan macam sesetengah orang tangkap orang letak dalam penjara. Kita ada pendakwaan di mahkamah kita akan hadapkan mereka orang yang dituduh boleh ada peguam pertahankan dia. Jadi kita tengoklah siapa yang betul,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Ramah Mesra Bersama Peladang, Penternak dan Nelayan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Langkawi di Padang Matsirat, di sini hari ini.

Mahathir berkata demikian sebagai mengulas dakwaan pemimpin UMNO bahawa pendakwaan ke atas pemimpin utama termasuk presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semalam bertujuan untuk melemahkan parti itu.

Zahid semalam didakwa atas 45 pertuduhan pecah amanah, menerima wang rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan lebih RM100 juta. 

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan berkenaan iaitu; 10 pertuduhan pecah amanah dengan jumlah tertinggi RM17 juta, di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan, serta 8 lagi pertuduhan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 kerana menerima rasuah bagi pelbagai projek ketika menjadi menteri dalam negeri.

Baki 27 pertuduhan lagi berkaitan pengubahan wang haram yang berjumlah RM72 juta, di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Beliau dibenarkan bebas dengan jaminan RM2 juta. Mahkamah menetapkan 14 Disember ini untuk sebutan kes. 

Terdahulu, mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berdepan dengan 25 pertuduhan berkaitan kemasukan RM2.6 billion ke akaun peribadi beliau membabitkan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Beliau menghadapi empat pertuduhan mengikut Seksyen 23 (1) dan 24 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan 21 pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1) (a) – Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA).

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas kesemua pertuduhan. Tarikh 16 November ditetapkan sebagai tarikh sebutan kes. -SuaraTv

One thought on “Tun M: Pendakwaan Ke Atas Pemimpin UMNO Bukan Bersifat Politik, Ikut Undang-undang

  • October 20, 2018 at 8:41 pm
    Permalink

    Ikut undang2 ..korang takut ke?korang makan rasuah tak takut pula?? Ini atas salahlaku korang dulu!! 1mdb..felda..nfc lembu..byk lagi salahlaku akan timbul satu..satu.. semoga semua yg jahat rasuah rompak akan didakwa jatuh hukum seberat2nya!!!

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.