PKR Melaka Pandang Serius Isu Sogok RM50 Untuk Mengundi Pemilihan Parti

JASIN – PKR Melaka memandang serius dakwaan wujudnya amalan politik wang membabitkan calon jawatankuasa parti itu di salah satu cabang di negeri ini.

Pengerusi PKR negeri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin berkata, ia berikutan dakwaan yang diterimanya berkaitan cubaan menyogok ahli parti sebanyak RM50 setiap seorang untuk keluar mengundi.

“Kita telah menugaskan jawatankuasa untuk memantau semua cabang bagi memastikan perkara seumpama ini tidak berlaku dan secara tegas saya katakan, kita akan siasat perkara itu sedalam-dalamnya.

“Jika terbukti bersalah, kita tidak teragak-agak untuk melaporkan perkara ini kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya ketika ditemui selepas mengundi di Dewan Lipat Kajang, Merlimau di sini, hari ini.

Shamsul Iskandar yang juga Timbalan Menteri Industri Utama berkata, PKR negeri menolak sekeras-kerasnya amalan tidak berintegriti itu dan menasihatkan semua ahli parti supaya tidak terjebak.

Dalam pada itu beliau berkata, sebanyak 28 peratus atau 9,300 perwakilan seluruh negeri keluar mengundi setakat jam 1.30 petang, hari ini.

Sehubungan itu, beliau akan meminta semua kepemimpinan ranting dan cabang supaya keluar seramai mungkin untuk menunaikan tanggungjawab yang berakhir pada jam 5 petang. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.