Mayat Ketiga Mangsa Runtuh Ditemui

GEORGETOWN: Mayat ketiga iaitu wanita warga Myanmar, mangsa tanah runtuh di Jalanraya Berkembar Bukit Kukus di sini, ditemui, awal pagi tadi.

Timbalan Komander Operasi Mencari Dan Menyelamat (SAR) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Mohd Tarmizi Mat Jaafar, berkata mayat wanita itu ditemui kira-kira jam 1.30 pagi tadi.

Katanya, mayat Khin Aye Khaing, 33, ditemui Unit Anjing Pengesan (K9), berhampiran lokasi mayat kedua ditemui, semalam.

“Mayat Aye Khaing ditemui sejam sebelum berjaya dikeluarkan ekoran beberapa kesukaran kerana struktur tanah yang teruk di situ.

“Mayat wanita itu disahkan suaminya yang juga pekerja di tapak terbabit, sebelum dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat,” katanya di sini, hari ini.

Semalam, seramai dua mangsa ditemui maut, masing-masing lelaki warga Indonesia dan Bangladesh, manakala seorang cedera selain 10 lagi pekerja binaan dikhuatiri masih tertimbus, kira-kira jam 2 petang.

Minggu lalu, sebahagian rasuk konkrit bagi projek pembinaan Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus di sini, runtuh apabila kren yang mengangkat kepingan plat keluli secara tidak sengaja terkena struktur terbabit, kira-kira jam 8 malam.

Projek bernilai RM545 juta itu muncul sebagai laluan alternatif menghubungkan Lebuhraya Thean Teik di Bandar Baru Air Itam ke Lebuh Bukit Jambul itu dijangka siap pada Mac 2020, selepas mengalami kelewatan setahun dari jangkaan asal.

Mohd Tarmizi berkata, operasi SAR itu turut dibantu pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dengan proses berkenaan dihentikan seketika, pada jam 4.45 pagi tadi.

“K9 juga sudah menemui satu lagi plot di lokasi kejadian dipercayai terdapat mangsa insiden tanah runtuh di situ dan pasukan SAR sedang berusaha mencarinya,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.