Mayat Keempat Mangsa Kejadian Tanah Runtuh Di Pulau Pinang Ditemui

GEORGETOWN – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menemui mayat keempat mangsa runtuhan tanah di tapak projek Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus di sini, sebentar tadi.

Insiden Komander Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR), Morni Mamat, berkata mayat lelaki warga Indonesia dikenali sebagai Bahtiar itu ditemui berhampiran lokasi penemuan beberapa mangsa lain, semalam.

“Kita temui mayat lelaki terbabit dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) di kawasan pencarian Zon I , kira-kira jam 11.55 pagi tadi.

“Mayat mangsa ditemui di bawah runtuhan tanah, berhampiran lokasi kontena. Bagaimanapun, identitinya masih belum dikenal pasti,” katanya ketika dihubungi NSTP, di sini, hari ini.

Terdahulu, mayat ketiga iaitu wanita warga Myanmar, Khin Aye Khaing, 33, ditemui anggota SAR , kira-kira jam 1.30 pagi tadi.

Ia sekali gus menjadikan seramai empat mangsa yang maut, manakala tiga lagi cedera dan dua pekerja binaan yang terbabit dalam kejadian itu dikhuatiri masih tertimbus. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.