Ku Li: Konvensyen Nyatakan Pemimpin UMNO Yang Berdepan Pendakwaan Perlu Berundur

KUALA LUMPUR: Pemimpin veteran UMNO, Tan Sri Tengku Razalaeigh Hamzah berkata, konvensyen parti itu menyatakan mana-mana pemimpinnya yang berdepan dengan pertuduhan di mahkamah perlu berundur, lapor The Star Online.

Ahli Parlimen Gua Musang yang lebih dikenali sebagai Ku Li itu berkata, pada masa lalu, pemimpin parti yang terlibat dalam pertuduhan undang-undang melepaskan jawatan mereka atau mengambil cuti.

Beliau kemudian memberi contoh bagaimana Tan Sri Muhammad Muhamad Taib dan Datuk Seri Harun Idris, yang melepaskan jawatan masing-masing sebagai naib presiden dan pemimpin sayap pemuda apabila terlibat dalam pertuduhan undang-undang.

“Saya fikir jika kita semua mempunyai kepentingan parti (di hati), maka parti harus dibebaskan dari semua perkara ini (kontroversi),” katanya kepada pemberita selepas melancarkan buku The End of Umno, sebuah buku disunting oleh Prof Bridget Welsh di sini hari ini.

Ku Li berkata pemilihan perlu diadakan bagi jawatan tertinggi parti jika Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang kini berdepan dengan 45 pertuduhan di mahkamah, memberikan laluan bagi jawatannya itu.

Untuk rekod, Ku Li merupakan calon yang bertanding bagi jawatan Presiden ketika pemilihan parti, Jun lalu. Bagaimanapun beliau dan seorang lagi calon, Khairy Jamaluddin tewas di tangan Zahid.

Beliau yang juga presiden majlis penasihat UMNO berkata, terdapat segelintir dalam kalangan pemimpin parti yang bertanya sama ada Ahmad Zahid perlu ‘bercuti’.

“Itulah yang dikatakan oleh ramai orang dalam parti itu, saya mendengar beberapa orang membangkitkan perkara ini, tetapi kami tidak mendengar dari akar umbi,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, UMNO masih mempunyai kekuatan di Parlimen walaupun pemimpin tertingginya berdepan dengan pendakwaan.

“Biarkan mereka menyelesaikan masalah mereka. Parti boleh teruskan, hanya kerana seseorang tidak berada di sana (parlimen), parti tidak akan mati,” katanya.

Ahmad Zahid semalam didakwa di mahkamah atas 45 pertuduhan berkaitan dengan pengubahan wang haram, pecah amanah jenayah dan menerima rasuah, sekaligus menimbulkan persoalan tentang nasibnya sebagai pemimpin parti.

Sebelum ini, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, mesyuarat MT yang berlangsung pada malam Rabu lalu memutuskan untuk mengekalkan Ahmad Zahid sebagai presiden sekalipun jika beliau berhadapan dengan pertuduhan mahkamah.

Ahmad berkata, parti juga tidak akan mengambil apa-apa tindakan terhadap Zahid, bahkan memberi sokongan padu kepada beliau. -SuaraTv

One thought on “Ku Li: Konvensyen Nyatakan Pemimpin UMNO Yang Berdepan Pendakwaan Perlu Berundur

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.