Perdana Menteri berkata, setiap pembangunan fizikal di negara ini juga harus mengambilkira faktor keselamatan dan cuaca negara yang berubah setiap masa.

“Kalau nak buat (projek) kena kaji dulu. Jangan bina tepi laut untuk elak tsunami. Jaga-jaga untuk potong (tebang) pokok dalam hutan supaya tanah tidak gelongsor.

“Bila pokok dipotong tanah terdedah lebih cepat dan jadi lumpur. Apabila nak buat jalan kena kaji dulu apakah ia selamat atau tidak?

“Sekarang banyak pembalakan di Malaysia dan kita lihat tanah runtuh di bukit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat rumah baharu mangsa ribut pada Ogos lepas di Kuala Teriang di sini hari ini.

Dr. Mahathir berkata demikian mengulas tentang kejadian tanah runtuh di Bukit Kukus Relau di Pulau Pinang semalam yang mengorbankan dua pekerja asing setakat ini sementara 10 lagi turut dilaporkan masih hilang.

Beliau turut menyeru agar semua pihak memainkan peranan untuk mengelak bencana alam sehingga mengorbankan nyawa. – UTUSAN ONLINE