Dakwa Disabotaj, Calon Ketua Cabang PKR Bantah Gambar Lama Seperti Penjaga Parkir

ALOR GAJAH – Calon Ketua Cabang Alor Gajah, Datuk Muhammad Jailani Khamis mendakwa penggunaan gambar lama dirinya dalam sistem e-voting parti itu sebagai satu cubaan mensabotaj dirinya.

Menurutnya yang kini berusia 46 tahun, penggunaan gambar yang diambil lebih 10 tahun itu disifatkan sebagai serangan psikologi kepada pengundi supaya tidak yakin untuk memilihnya dengan paparan imej profil seperti seorang penjaga parkir.

“Saya kecewa kerana gambar lama saya dalam keadaan rambut tidak terurus, memakai baju-T dan tidak memakai cermin mata seperti penjaga parkir digunakan dalam sistem e-voting.

“Perkara memalukan ini merupakan satu tindakan berniat jahat daripada pihak tertentu dengan melakukan serangan psikologi kepada pengundi untuk tidak memilih pemimpin yang tidak berkarisma dan sama sekali tidak menggambarkan keperibadian sebenar saya,” katanya ketika ditemui di Japerun Machap hari ini.

Bagaimanapun, Muhammad Jailani berkata, kejadian itu sama sekali tidak akan mematahkan semangatnya untuk terus berkhidmat dalam parti malah beliau menggariskan tiga perkara utama dalam manifestonya jika dipilih iaitu menjaga kebajikan rakyat, pembangunan sahsiah penduduk serta pembangunan menyeluruh.

Muhammad Jailani yang juga Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri bertanding buat julung kalinya bagi jawatan Ketua Cabang Alor Gajah yang menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara beliau dengan Exco Wanita, Pembangunan Keluarga, Hal Ehwal Kebajikan dan Orang Asli, Ginie Lim Siew Lin dan penyandangnya, Ahmad Abdul Wahid. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.