Ahmad Maslan Dakwa Wujud Pendakwaan Pilih Kasih

SHAH ALAM – Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan mendakwa wujud berlakunya pendakwaan terpilih dan politik dalam negara hari ini.

Beliau berkata, ia dapat dilihat apabila ahli-ahli parti tersebut diheret ke mahkamah atas pelbagai dakwaan.

“Saya ada keyakinan bahawa wujud pendakwaan terpilih, pendakwaan politik dan pendakwaan politik terpilih.

“Orang-orang mereka seorang demi seorang dilepaskan. Orang-orang kami Umno seorang demi seorang diseret ke mahkamah,” katanya menerusi ciapan di Twitternya hari ini.

Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada pendakwaan melibatkan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas 45 pertuduhan melibatkan pecah amanah, menerima suapan berjumlah lebih RM42 juta dan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah lebih RM72 juta.

Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan dihadapan hakim Azura Alwi.

Sebelum ini, beberapa pemimpin Umno seperti bekas Presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim pernah dibawa ke mahkamah masing-masing melibatkan pengubahan wang haram dan kes menerima rasuah. – SINAR HARIAN

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.