Vida Doa Bertemu Jodoh Sesuai

KUALA LUMPUR: Usahawan selebriti, Datuk Seri Vida, tidak akan menolak jodoh andai ditemukan dengan lelaki bersesuaian dengan dirinya.

Beliau berkata, meskipun perkara itu bukan menjadi keutamaannya pada masa ini, namun sebagai manusia biasa, dirinya juga mempunyai keinginan untuk hidup berpasangan.

“Saya sentiasa berdoa moga dipertemukan jodoh yang sesuai dan dapat membimbing saya ke arah kebaikan.

“Paling utama, siapa juga lelaki itu, dia perlulah mendapat persetujuan daripada dua anak dan kakak saya,” katanya kepada BH Online ketika dihubungi.

Vida atau nama sebenarnya Hasmiza Othman, 46, berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan seorang wanita yang juga ibu kepada lelaki muda yang didakwa berhubungan dengan beliau.

Bercerita lanjut, Vida tertawa dan mengakui telefon bimbitnya sesak dengan panggilan dan pesanan yang dihantar oleh semua pihak, termasuk media bagi mendapatkan kenyataan berhubung berita berkenaan.

BH Online sebelum ini melaporkan, ibu kepada Ahmad Iqbal Zulkefli, 23, yang juga pekerja Vida, Maznuni Che Yusof, 49, tidak menghalang andainya anak lelakinya itu bertemu jodoh dengan pengasas produk Vida Beauty itu.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, Iqbal adalah pekerja yang menguruskan media sosial saya dan tidak lebih daripada itu.

“Saya pun pening dan tergelak apabila kecoh mengenai hubungan saya dengan dirinya,” katanya.

Vida menambah, beliau berhak untuk bahagia, namun masih waras dan tahu apa yang terbaik serta sesuai buat dirinya.

Penyanyi lagu I Am Me itu kini berada di Makkah kerana mengerjakan umrah.

Ditanya mengenai anak perempuannya, Nur Edlynn Zamileen atau lebih dikenali dengan nama Cik B, yang meluahkan rasa tidak puas hati di laman Instagram miliknya, Vida berkata, puterinya itu antara yang paling tidak gemar sekiranya ada lelaki cuba merapati beliau.

“Cik B memang pantang kalau ada yang cuba rapat dan ambil kesempatan terhadap saya.

“Saya faham luahannya dan seperti saya katakan, Cik B selalu menasihatkan saya dan tidak mahu orang berniat tidak baik terhadap saya,” katanya.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.