Takut Dipukul, Budak Korek Tabung Ibu

RAWANG – Duit tabung dikorek membongkar rahsia anak menjadi mangsa buli rakan di sekolah.

Seorang bapa, Zaidi Umar, 42, membuat laporan polis selepas anak sulungnya yang kini berada di tingkatan satu sebuah sekolah di Rawang sering dipukul dan diugut.

Zaidi berkata, perihal anaknya yang menjadi mangsa buli terbongkar selepas terdapat kesan umpilan pada tabung simpanan milik isterinya.

“Mulanya saya dan isteri hanya mahu tahu siapa yang mengumpil tabung tapi selepas ditanya barulah tahu tujuan anak bertindak demikian.

“Ini kerana rakan sebayanya sering menjadikannya sebagai sasaran untuk mendapatkan duit belanja hampir setiap hari,” katanya lapor Sinar.

Katanya, anaknya akan ditumbuk dan dipukul jika enggan memberikan kerjasama.

“Anak saya dibuli sejak Jun lalu sehingga kini. Sebelum ini rakannya juga turut menjadi mangsa tapi selepas melaporkan kepada guru pelaku berubah sasaran.

“Anak tidak memaklumkan kejadian kepada guru dan kami kerana takut akan dipukul lebih teruk,” katanya.

Zaidi berkata, tujuannya membuat laporan polis adalah bagi menuntut pembelaan dan memastikan keselamatan anaknya di sekolah.

“Perkara ini sudah dibawa kepada perhatian pihak sekolah juga, namun siasatan tidak boleh dilakukan memandangkan pelajar masih bercuti.

“Saya harap gejala buli ini dapat dibanteras kerana bukan sahaja mengganggu emosi, malah turut memberikan tekanan kepada mangsa,” katanya.

Katanya, anaknya juga bertindak di luar kawalan sehingga sanggup mencuri kerana takut dicederakan.

“Dia pernah ditumbuk, disepak di bahagian tangan, kaki dan perut. Pernah sampai ke muka tapi anak sempat mengelak.

“Jika tiada jaminan keselamatan dari pihak sekolah, saya terpaksa mengambil langkah lain termasuk menukarnya ke sekolah lain kerana bimbang pembuli akan bertindak di luar kawalan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.