Felda Bakal Wujud Sekolah Amanah Untuk Anak Peneroka

TANJUNG MALIM — Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) akan  mengadakan  kerjasama dengan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) untuk mewujudkan Sekolah Amanah khusus untuk anak-anak peneroka di negara ini.

Pengerusinya Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata sekolah berkenaan diwujudkan sebagai usaha memantapkan lagi sistem pendidikan masyarakat luar bandar terutama dalam kalangan anak peneroka Felda.

“Saya ada mengadakan perbincangan dengan pihak Khazanah supaya mereka mengembangkan konsep Sekolah Amanah di bawah Yayasan Amir agar dapat dibawa ke sekolah rendah dan menengah di tanah rancangan Felda.

“Kita tahu konsep Sekolah Amanah  mampu meningkatkan kualiti pendidikan dalam kalangan pelajar dan hasilnya agak memuaskan kerana ia dilaksanakan di Sarawak, Johor dan Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Graduasi Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Felda Kampus Tun Abdul Razak kali ke-8 di sini semalam.

Shahrir berkata penubuhan Sekolah Amanah  selaras dengan visi dan matlamat Felda yang mengutamakan pendidikan dengan mempertingkatkan  pencapaian akademik anak-anak peneroka.

“Felda melihat bidang pendidikan merupakan satu aset yang boleh dikembangkan menerusi pencapaian anak-anak peneroka demi kemajuan masyarakat Felda secara keseluruhannya,” katanya.

Khazanah melalui Yayasan Amir mewujudkan Sekolah Amanah yang dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan dan beberapa buah Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC)  bagi meningkatkan kualiti pendidikan menerusi penambahbaikan bagi membangunkan potensi pelajar.

Sekolah Amanah mula diperkenalkan pada tahun 2011 dan setakat ini terdapat 40 sekolah berkenaan beroperasi di Johor, Sarawak, Selangor serta Kuala Lumpur. 

Majlis Graduasi MRSM Felda merupakan program tahunan yang bukan sahaja memberi pengiktirafan terhadap pencapaian akademik semata-mata tetapi dinilai daripada aspek sahsiah dan kokurikulum pelajar berkenaan.

Sejumlah 218 pelajar tingkatan lima MRSM Kampus Tun Abdul Razak yang berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam pelbagai subjek diraikan pada majlis itu.

Selain itu, Anugerah Khas turut diberikan kepada 11 pelajar yang memperoleh kejayaan cemerlang dalam pelbagai subjek antaranya Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Fizik dan Kimia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.