Elly Mazlein Nafi Diekploitasi

TIDAK dinafikan, rezeki penyanyi dan pelakon Elly Mazlein dalam bidang seni tidak pernah putus, sementelah tawaran sentiasa ada untuknya termasuk nyanyian, lakonan dan duta produk sejak menyertai program realiti Gegar Vaganza musim ketiga (GV3) pada tahun lalu.

Dilantik sebagai duta untuk produk kesihatan dan kecantikan Lentik Dara baru-baru ini, Elly bagaimanapun menafikan dirinya dieksploitasi oleh jenama berkenaan yang memilihnya sebagai duta kerana status diri sebagai janda.

Tidak melatah apatah lagi terasa hati kerana Elly memandang setiap rezeki yang hadir dalam hidup dari sudut positif. Apa yang penting, selagi is tidak memburukkan namanya sebagai seorang wanita dan ibu, dia masih boleh menerima sesuatu perkara itu dengan baik.

Ikuti penjelasan daripada pemilik nama sebenar Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 37, itu selain berbicara mengenai perkembangan terkini dalam bidang seni.

KOSMO!: Boleh Elly jelaskan mengapa menerima tawaran menjadi produk Lentik Dara kerana ia seperti mengeksploitasi diri anda sebagai wanita berstatus janda?

ELLY MAZLEIN: Secara peribadi saya langsung tidak terfikir soal itu kerana bagi setiap rezeki yang halal, saya terima tanpa berfikiran negatif. Saya sentiasa mengamalkan sikap positif dalam hidup. Selagi tidak memberi maksud yang kurang baik dan mencetuskan kontroversi, saya okey sahaja. Saya rasa tetap seperti anak dara berumur 18 tahun walaupun sudah punya anak.

Melihat kepada graf perkembangan karier anda pada tahun ini, nampaknya rezeki yang diperoleh semakin bertambah.Bagaimana anda melihat situasi ini?

Alhamdulillah, ini semua rezeki anak dan saya sebagai seorang ibu tunggal. Tidak dinafikan tahun ini saja, macam-macam tawaran yang saya dapat. Selain dilantik menjadi duta produk, tawaran persembahan dan dunia lakonan, semuanya telah disusun cantik.

Mengambil pendekatan pelakon Fasha Sandha yang berbaik dengan bekas suaminya, Jejai baru-baru ini demi anak, bagaimana pula dengan anda? Adakah pernah terfikir soal serupa?

Kalau demi anak, sama sekali saya tidak akan beralah. Sebab apa yang saya perjuangkan selama ini adalah hak anak yang sepatutnya dia dapat. Saya keras hati dan tetap dengan pendirian apa saja perkara melibatkan anak.

Beralih kepada perkembangan terkini anda?

Alhamdulillah, rezeki saya tidak putus-putus dalam bidang seni kerana ada saja tawaran yang datang. Sehingga hujung tahun, jadual saya sudah penuh dengan tawaran persembahan. Insya-Allah, akan ada beberapa projek lain yang saya bakal terlibat tetapi semuanya masih pada peringkat awal dan tidak boleh dikongsikan buat masa sekarang. Saya juga baru selesai menjalani penggambaran drama 40 episod berjudul Villa Ghazara untuk terbitan TV3.

Bagaimanakah pula dengan perkembangan nyanyian memandangkan lagu baharu anda seperti kurang mendapat sambutan?

Lagu terbaharu saya berjudul Jeritan Hati yang dilancarkan pada bulan Mei lalu masih lagi dalam rangka promosi. Barangkali rezeki lagu tersebut agak lambat untuk dikenali peminat. Buat masa sekarang saya masih belum terfikir untuk mengeluarkan lagu baharu dalam masa terdekat.-Kosmo

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.