Dua Lagi Pemimpin Akar Umbi PPBM Letak Jawatan dan Keluar Parti

KUALA LUMPUR – Krisis Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Perak nampaknya tidak akan berhenti, terbaharu dua lagi pemimpin akar umbi negeri melepaskan jawatan dipegang dengan seorang daripadanya turut mengumumkan keluar parti.

Ketua Bahagian Parit, Rosli Ali memberitahu, beliau sudah menghantar surat peletakan jawatannya sementara ketua penaja Kuala Kangsar, Dul Hayati juga meletak jawatan tetapi kekal berada dalam parti tersebut.

Rosli mendakwa kira-kira 200 ahli dalam bahagiannya juga akan mengikut jejak sama dengan keluar parti.

“Tidak ada kerjasama dan kami jarang bermesyuarat sehingga saya sendiri sebagai seorang ketua bahagian juga tidak tahu apa yang berlaku,” kata beliau dipetik dalam sidang media semalam.

Ini bukan kali pertama krisis kepimpinan melanda PPBM Perak, malah pada Mei lalu, lebih 1,000 anggota PPBM Perak diketuai Ketua Penaja Bahagian PPBM Ipoh Timur Azrul Suhadi Ahmad Mokhtar dan Ketua Penaja Bahagian PPBM Teluk Intan Jemaat Yaacob mengisytihar keluar parti.

Terdahulu bulan lalu, pengasas PPBM yang juga Naib Presiden dan Ketua Bahagian Gopeng, Datuk Hamidah Osman juga turut mengumumkan langkah keluar daripada parti tersebut. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.