Buang Kebencian Terhadap FAM – Pengkritik

Pengkritik sukan tanah air, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim senada dengan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar supaya semua pihak tidak terlalu mengkritik Persatuan Bola Sepak Malaysia di bawah kepimpinan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim susulan prestasi merudum skuad negara.

Beliau mengakui buat masa ini belum nampak sebarang kemajuan bola sepak negara, tetapi baginya masih terlalu awal untuk semua pihak menjatuhkan hukum terhadap kepimpinan baharu ini.

“Semua perlu beri lebih masa kepada TMJ sebab belum setahun pun baginda mengambil alih tampuk tertinggi FAM.

“Buat masa ini kita jangan beri apa-apa kritikan dahulu dan kita lihatlah setahun dua lagi,” katanya semalam, Sinar.

Bagaimanapun Kay Kim berpandangan TMJ selaku presiden FAM juga perlu lebih mengutamakan Harimau Malaya berbanding kelab dimilikinya, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Jelasnya, ini bagi mendapatkan kembali kepercayaan  penyokong  Harimau Malaya yang sebelum ini menganggap baginda terlalu melebih-lebihkan JDT.

“Sebagai presiden FAM penting, apa yang perlu diberi keutamaan ialah skuad kebangsaan dan bukannya negeri atau kelab sahaja.

“Baginda dilantik untuk ketua seluruh Malaysia, jadi tak wajar jika ada pihak yang memandang wujud conflict of interest sebab apa yang penting ialah negara bangsa perlu diutamakan,” katanya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.