‘Kodok haram tapi cucur kodok halal’

Memang orang Islam disuruh memberikan nama yang baik kepada diri sendiri atau orang lain, namun kata Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin perintah itu tidak terpakai pada sesuatu yang sudah ada nama.

 

Menulis catatan ringkas pada Facebook Mohd Asri berkata sesuatu makanan tidak menjadi haram semata-mata kerana namanya.

 

Sebaliknya kata beliau apa yang membuatkan sesuatu makanan itu menjadi haram adalah kandungannya.

 

“Buah mata kucing halal walaupun mata kucing sebenar haram. Kuih tahi itik di Kelantan halal walaupun tahi itik tidak dimakan dan najis pada majoriti ulama.

 

“Kodok (katak) diharamkan tapi cucur kodok halal. Telinga keling tidak boleh dimakan tapi kuih telinga keling halal,” katanya.

 

Beliau dipercayai mengulas kekeliruan sesetengah pihak kepada nasihat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kepada rangkaian kedai makan Auntie Anne’s beberapa hari lalu.

 

Malaysiakini pada 18 Oktober melaporkan Jakim membuat saranan kepada pemilik rangkaian kedai Auntie Anne’s menukar nama makanan mereka daripada ‘pretzel dog’ kepada ‘pretzel sausage’ untuk memudahkan sijil halal diperolehi.

 

Pengarah Bahagian Hab Halal Jakim Dr Sirajuddin Suhaimee berkata panel penilaian jabatan itu sebelum ini tidak dapat mempertimbangkan permohonan Auntie Anne’s kerana perkataan “dog” itu merujuk kepada anjing dalam bahasa Inggeris.

 

“Ya, (kerana) panel tak dapat pertimbangkan perkataan ‘dog’ kerana merujuk pada haiwan anjing,” katanya kepada Malaysiakini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.