Kerajaan Sedia Timbang Cadangan Kembiri Penjenayah Seks Kanak-Kanak

KUALA LUMPUR – Kerajaan menimbangkan untuk mengenakan hukuman kembiri secara kimia terhadap pesalah pedofili di negara ini.

 

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Azizah Mohd Dun berkata, kerajaan sentiasa terbuka dengan mana-mana cadangan berhubung hukuman kepada pesalah pedofilia.

 

“Saya yakin Jawatankuasa Pasukan Khas Jenayah Seksual yang dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said sedang membincangkan dengan teliti hukuman, terma dan garis panduan berkaitan dengan isu jenayah seksual ini, ” katanya.

 

Beliau menjawab soalan Shamsul Iskandar Mohd Akin (PKR-Bukit Katil) yang mahu mengetahui sama ada hukuman kembiri kimia boleh dilaksanakan seperti dilakukan di Indonesia.

 

Azizah berkata , kerajaan juga sentiasa prihatin dan terbuka mendengar pandangan pelbagai pihak mengenai jenayah seksual yang pernah menggemparkan negara itu.

 

Katanya, banyak usaha sedang dan telah diambil kerajaan untuk menangani jenayah berkenaan. Malah, Perdana Menteri sendiri mengumumkan untuk meninjau kemungkinan diwujudkan satu akta baru khusus bagi jenayah seksual kanak-kanak atau meminda akta berkaitan jenayah sedia ada.

 

“Antara akta lain itu termasuk Kanun Keseksaan, Akta Kanak-kanak 1996, Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007 dan Akta Keterangan 1950. Pada Mei lalu, Presiden Indonesia Joko Widodo menandatangi dikri meluluskan pengguna bahan kimia untuk menggembiri pesalah pedofilia.

 

Jun lalu, Malaysia digemparkan dengan isu pedofilia apabila seorang jurufoto bebas dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup di United Kingdom kerana kesalahan pencabulan seksual dan menjadikan kanak-kanak negara ini sebagai mangsanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.