‘Kecewa, Guan Eng Samakan Saya Dengan Trump’

Setiausaha Agung Parti Gerakan, Datuk Liang Teck Meng kecewa apabila disamakan dengan Calon Parti Republikan US Donald Trump.

 

Beliau berkata, kecaman Guan Eng kepadanya ekoran kenyataannya mengenai situasi ekonomi negeri itu baru-baru ini disifatkan tidak munasabah.

 

“Saya berasa kecewa kerana Lim Guan Eng telah menggunakan rujukan kepada Donald Trump dalam satu kenyataan sidang akhbar untuk menyerang saya dan Barisan Nasional.

 

“Trump tidak mempunyai kaitan dengan politik Malaysia dan tidak perlu menggunakan namanya. Ini adalah tingkah laku yang paling tidak berprofesional daripada Ketua Menteri Pulau Pinang,” katanya.

 

Tambahnya, berdasarkan kepada angka-angka tahun 2011 daripada Jabatan Statistik Negara untuk menunjukkan Keluran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita mengikut negeri bagi akhir tahun 2007, beliau telah membuat kiraan dan mendapati bahawa Pulau Pinang terletak di tangga rendah sekali dalam pertumbuhan KDNK per kapita bagi tempoh tahun 2008 hingga 2015 di antara 15 negeri dan wilayah persekutuan, iaitu sepanjang keseluruhan tempoh Pulau Pinang berada di bawah pentadbiran DAP.

 

“Berdasarkan angka-angka yang disiarkan oleh Guan Eng semula semalam di mana beliau mendakwa bahawa ia adalah yang terkini dan juga terkandung dalam kenyataan beliau menunjukkan bahawa Pulau Pinang merupakan negeri yang ketiga terendah di kalangan 15 negeri dan wilayah persekutuan bagi pertumbuhan KDNK per kapita tempoh tahun 2008 hingga 2015,” katanya, petik sebuah portal.

 

Selain itu, Teck Meng berkata, Pulau Pinang menempati posisi keempat terendah jika anda mengambil kira tahun 2009 hingga 2015 sepertimana kenyataan Guan Eng yang disiarkan media semalam.

 

“Saya tidak mahu berdebat mengenai angka yang sudah ketinggalan masa atau angka ramalan tetapi saya kini mempergunakan angka yang sama sepertimana yang disiarkan oleh Guan Eng sendiri. Saya yakin beliau lebih gembira untuk menempati posisi ketiga paling teruk atau keempat paling teruk dan bukan yang paling teruk.

 

“Apa-apa sahaja asalkan beliau (Guan Eng) gembira,” sindir Teck Meng.

 

Beliau juga kecewa dengan Setiausaha DAP Pusat itu kerana mendakwa beliau seorang graduan kejuruteraan dan beliau tidak boleh memahami data ekonomi.

 

“Tiada sesiapa pernah mencadangkan Guan Eng yang mempunyai ijazah perakaunan tidak patut bercakap tentang terowong atau pembinaan lebuh raya di mana beliau sering membuat kenyataan yang berkenaan,” jelasnya.

 

Teck Meng juga kecewa kerana Guan Eng sebagai seorang graduan akauntan menghadapi kesukaran mentafsir angka-angka mudah dan membuat keputusan selain ‘bersembunyi’ di sebalik kelayakan Ketua Pegawai Eksekutif Penang Institute, Dr. Lim Kim Hwa yang mempunyai PhD di Universiti Cambridge.

 

Bagaimanapun Teck Meng mahu Kim Hwa menjelaskan keadaan ekonomi Pulau Pinang secara profesional tanpa prejudis politik.

 

“Walaupun Ketua Menteri Pulau Pinang baru-baru ini memberi amaran kepada Penang Institute pada 28 Jun 2016 supaya tidak menggigit tangan yang menyuap makanan dan tidak mencemarkan imej Pulau Pinang, saya yakin Kim Hwa sebagai seorang pakar yang profesional akan menjawab tanpa berasa takut daripada apa-apa tindakan membalas yang berkemingkinan atau berat sebelah,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.