Elok Ubah Nama Jika Menjurus Haram

SHAH ALAM – Makanan bukan hanya perlu mempunyai standard halal semata-mata tetapi mestilah tayyib.

 

Ahli Jawatankuasa Pensijilan Halal Negeri Selangor, Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim berkata, tayyib itu mempunyai makna yang luas, iaitu bersih: baik daripada aspek penyediaan; baik daripada aspek bahan dan baik daripada aspek nama.

 

“Nama produk atau restoran mestilah tidak mengelirukan atau menjijikkan.’Hotdog’, tahi itik, rootbeer dan lain-lain, semua itu menggambar perkara yang tak baik dalam makanan.

 

“Walaupun ia hanya sekadar nama bukan pada bahan,tetapi nama melambangkan keperibadian dan kewibawaan syariat Islam.

 

“Oleh itu, Jakim dan Jabatan Agama Negeri perlu mengambil pendekatan ‘Sad Dharai’ iaitu menutup pintu-pintu yang boleh mengelirukan makanan orang Islam di masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Mohd Izhar Ariff yang juga Ahli Majlis Perundingan Islam Negara berkata demikian bagi menghurai kekeliruan yang wujud dalam kalangan masyarakat Islam di negara ini, rentetan isu sebuah restoran terkenal menggunakan istilah ‘hotdog’ dalam menu makanan sehinggakan ia mencetuskan pelbagai pendebatan.

 

Tambah Mohd Izhar Ariff pada hari ini, terdapat produk makanan yang mengelirukan umat Islam seperti ‘non alcoholic’, ‘no pork’ dan lain-lain.

 

“Atas dasar yang sama segala produk makanan yang menggunakan nama agama atau nama yang menjijikkan tidak akan diberi sijil halal,” katanya yang juga merupakan pensyarah Fiqh Makanan UKM.

 

Katanya lagi, usaha ini dilakukan dalam memperkasa pensijilan halal bagi memelihara kesejahteraan agama dan syariat Islam di Malaysia, termasuklah dalam aspek penambahbaikan terhadap prinsip ‘Halalan Tayyiban’.-Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.