Video: Al-Qaradawi Kata Penubuhan Parti Amanah Haram – Hadi Awang

Kuala Lumpur – Susulan misi antarabangsa Parti Amanah Negara (Amanah) ke Doha, Qatar dan Istanbul, Turki minggu lalu, satu pertentangan pendapat timbul berhubung kewujudan 2 parti Islam di negara ini berdasarkan pandangan ulama besar Prof Dr Yusuf Al-Qaradawi.

 

Pesiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa, pengerusi Kesatuan Ulama Sedunia itu menolak kewujudan 2 parti berorientasikan Islam di Malaysia.

 

 

Katanya, penubuhan Amanah adalah haram kerana ia ditubuhkan selepas adanya parti Islam lain iaitu PAS.

 

“Yusuf menyatakan haram menubuhkan parti baharu kerana PAS sudah ada. Pendapatnya ini turut ditulis setiausahanya,” kata Hadi ketika memberikan ucapan di Tumpat, Kelantan pada Ahad malam.

 

Hadi yang juga naib pengerusi kesatuan itu berkata, reaksi itu dibuat tokoh ulama terkenal tersebut ketika menerima kunjungan rombongan dari Malaysia baru-baru ini.

 

Bagaimanapun kenyataan Hadi yang sedang disebarkan penyokongnya melalui media sosial itu dinafikan Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub dalam satu kenyataannya semalam.

 

Salahuddin berkata, Naib Presiden Amanah Datuk Dr Mujahid Yusof baru saja berjumpa Yusuf di Doha pada 17 Oktober, ketika dalam perjalanan pulang dari Istanbul, dan tidak berbangkit langsung perkara itu.

 

“Dalam pertemuan itu tidak disebut langsung tentang haramnya wujud sebuah parti Islam lain selain PAS.

 

“Bahkan kami berbincang perkara prinsip tentang kejelasan fikrah Islam, kerana bimbang terjerumus kepada pemikiran awal Isis (Negara Islam Iraq dan Syria) atau seumpamanya.

 

“Lalu Yusuf menyokong usaha untuk membetulkan salah faham ini di kalangan pengamal politik Islam,” kata Salahuddin yang baru pulang daripada misi itu, yang bertujuan memperkenalkan Amanah di peringkat antarabangsa, khususnya kepada gerakan Islam.

 

Misi itu berlangsung dari 13 hingga 18 Oktober dengan delegasi Amanah turut disertai Timbalan Penasihat Umum Abd Ghani Shamsuddin, yang juga ahli pemegang amanah kesatuan ulama dunia itu, dan Bendahari Amanah Asmuni Awi.

 

Dalam misi itu, mereka turut bertemu dengan setiausaha agung kesatuan ulama itu, Prof Dr Ali Alqaradaghi di Doha pada 13 Oktober.

 

“Perbincangan antara Amanah dan Ali berlangsung dalam keadaan mesra dan penuh dengan semangat ukhuwah.

 

“Langkah awal ini sangat penting untuk Amanah terus maju ke depan mendepani cabaran diplomatik antarabangsa,” kata Salahuddin.

 

Bagaimanapun, pemerhati politik melihat kenyataan Hadi itu bercanggah dengan pandangan Yusuf sendiri yang sebelum ini pernah menyatakan hukumnya tidak sebegitu.

 

Menurut Yusuf dalam kitabnya, fatwa mendakwa kumpulannya saja yang Islam dan kumpulan ditubuhkan selepasnya terbubar merupakan pintu kejahatan dan merosakkan agama.

 

Sebelum ini, ketika para pemimpin Amanah masih berada dalam PAS, Hadi dalam satu ucapannya di Batu Pahat, Johor meminta mereka meninggalkan PAS.

 

“Jika mahu jadi imam juga, cari tanah sendiri, buat masjid sendiri dan jadi imam sendiri,” katanya ketika membuat ucapan penggulungan di muktamar tahunan PAS tahun lepas.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.