T-Team Harap Tuah Untuk Ke Suku Akhir Piala Malaysia

KUALA TERENGGANU – Pasukan berstatus kelab dari Terengganu, T-Team mengakui memerlukan keajaiban untuk menjadi pasukan kedua dari Kumpulan C yang mara ke suku akhir Piala Malaysia.

 

Selepas pendahulu Kumpulan C yang dianggap kumpulan maut, Selangor sudah mengesahkan tiket ke suku akhir dengan kutipan 10 mata, T-Team perlu bersaing dengan Felda United dan Kelantan untuk mengiringi juara 32 kali itu.

 

T-Team kini menduduki tangga ketiga dengan enam mata, sama dengan Felda United yang berada di tempat kedua kerana memiliki jumlah jaringan yang lebih baik, manakala Kelantan hanya satu mata di belakang mereka.

 

Penolong jurulatih T-Team Mohd Azhari Salim mengakui ketika ini kedudukan tidak berpihak kepada pasukannya, melainkan adanya faktor tuah dalam mengharungi perlawanan terakhir peringkat kumpulan itu.

 

“Peluang T-Team adalah 50-50 kerana saya rasa Felda United mampu mengalahkan Selangor yang sudahpun layak sedangkan kami pula akan berdepan Kelantan yang sama-sama mahu mendapatkan tiket tunggal yang ada,” katanya.

 

Dalam pertemuan pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada 26 September lepas, T-Team mengalahkan Kelantan 3-1.

 

Mohd Azhari berkata jika T-Team menang ke atas Kelantan sekali lagi dan Felda United menewaskan Selangor, masing-masing akan mengumpulkan 9 mata tetapi Felda United mempunyai kelebihan jaringan.

 

Kelantan pula masih mempunyai peluang menyelinapkan diri andai menewaskan T-Team dan Selangor pula menundukkan Felda United.

 

Bagaimanapun, Mohd Azhari berkata T-Team tetap akan turun untuk mencari kemenangan sambil mengharapkan Selangor dapat menjinakkan Felda United. – mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.