Malaysia, Thailand Bincang Kerjasama Pelbagai Bidang

KUALA LUMPUR – Malaysia dan Thailand akan membincangkan kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan serta keselamatan di kawasan sempadan.

 

 

Perbincangan itu akan diadakan pada mesyuarat kali ke-13 Suruhanjaya Bersama (JCM) bagi Kerjasama Bilateral dan mesyuarat kali ke-4 Strategi Pembangunan Bersama (JDS) bagi kawasan sempadan peringkat menteri, di sini pada Rabu dan Khamis.

 

 

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman akan mempengerusikan mesyuarat bersama rakan sejawatan Thai, Don Pramudwinai.

 

 

Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, bahawa mesyuarat itu akan membincangkan isu-isu bilateral, khususnya kerjasama keselamatan di kawasan sempadan, termasuk pembanterasan pemerdagangan manusia dan langkah-langkah membina keyakinan di Thailand Selatan.

 

 
Mereka akan juga membincangkan kerjasama dalam bidang perdagangan dan pengeluaran getah dan industri makanan halal, kata kenyataan itu.

 

 

“Mesyuarat akan juga meninjau bidang baru kerjasama yang akan mempertingkat dan memperkukuh lagi hubungan bilateral antara Malaysia dan Thailand,” katanya.

 

 

Mesyuarat para pegawai kanan akan mendahului sesi peringkat menteri.

 

 

JCM dan JDS akan mengkaji kemajuan kerjasama bilateral dan tindakan susulan terhadap keputusan dibuat kedua-dua Perdana Menteri Malaysia dan Thailand pada mesyuarat mereka di Putrajaya pada 1 Dis, 2014, ujar kenyataan itu.

 

 
JCM dan JDS diadakan secara bergilir-gilir di dua negara berkenaan.

 

 
Mesyuarat peringkat menteri terakhir berlangsung di Phuket, Thailand, pada 14 dan 15 Dis, 2013.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.