Kes Rasuah Rumah Urut, 9 Pegawai, Penguatkuasa PBT Di Selangor Direman

PUTRAJAYA – Seorang pegawai pelesenan dan sembilan penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor antara 11 yang direman selama lima hari bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah lesen projek rumah urut di kawasan Lembah Klang.

 

Seorang orang awam yang dikatakan bertindak sebagai orang tengah antara penguat kuasa dan pemilik rumah urut turut direman selama lima hari bagi membantu siasatan.

 

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapatkan perintah reman itu yang dikeluarkan Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman di Mahkamah Majistret di sini, bermula hari ini terhadap kesemua lelaki berumur antara 30-an hingga 50-an.

 

Menurut pegawai SPRM, perintah reman itu bertujuan membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a), Akta SPRM 2009 iaitu meminta atau menerima rasuah.

 

Katanya kesemua suspek ditahan di pejabat mereka pada pukul 9 pagi semalam ketika sedang bertugas.

 

Orang tengah terbabit yang juga disyaki mempunyai rumah urut sendiri, ditahan di rumahnya di Setapak, Kuala Lumpur pada pukul 10 pagi semalam.

 

Menurut pegawai SPRM, penahanan kesemua suspek berdasarkan hasil risikan selama hampir setahun, dengan nilai suapan disyaki antara RM200 hingga RM30,000.

 

Semua suspek disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.