‘Kalau Telco Caj Tambahan Lagi Jumpa Saya’ – Johari

KUALA LUMPUR – Syarikat-syarikat telco diberi tempoh sehingga hujung bulan ini dan selepas itu jangan lagi mengenakan caj perlaksanaan GST kepada pengguna.

 

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, tempoh enam bulan sejak April lalu kepada telco sudah cukup lama untuk mereka mematuhi persetujuan yang dibuat sebelum itu.

 

“Kita mahu kalau beli prepaid RM10 bayar RM10 bukan RM10.60 oleh pengguna. Mereka (syarikat telco) kena cari jalan. Selaraskan sistem. Masukkan dalam penggunaan dan sebagainya,” ujarnya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

 

Sebelum ini, Johari ketika masih belum memegang jawatan timbalan menteri antara wakil rakyat yang kuat mengkritik sikap telco yang masih berdegil mematuhi arahan kerajaan selepas perlaksanaan GST.

 

“GST satu perkara lain, ia sudah diluluskan parlimen namun mereka (telco) minta tangguh hingga hujung Oktober…sekarang 19 Oktober..kita tunggu.

 

“Kalau mereka (telco) caj juga jumpa saya,” ujarnya sambil memberitahu tidak perlu memberi banyak amaran kepada syarikat telco berhubung perkara yang sama.

 

Bagaimanapun, Johari juga memberitahu, masalah telco adalah kuasa Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan arahan tegas juga sudah dikeluarkan kementerian berkenaan.

 

Beliau juga mencabar syarikat telco yang masih berkeras dan gagal melaksanakan arahan kerajaan itu supaya menjelaskan sendiri kepada pengguna kenapa mereka mengenakan caj tambahan.

 

Menurut Johari, tempoh sampai penghujung bulan ini adalah mencukupi dan kerajaan tidak akan memberi mereka tempoh sehingga dua atau tiga tahun kerana ia memberi beban kepada pengguna. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.